Melodi Glam Raya Runway 2026 gegar laluan MRT

Melodi Glam Raya Runway 2026 gegar laluan MRT

Kuala Lumpur : Program hiburan sensasi nombor satu negara, Melodi, bakal membawakan satu kelainan luar biasa menerusi penganjuran Melodi Glam Raya Runway 2026 iaitu sebuah pertunjukan fesyen dalam tren bergerak yang menggabungkan elemen hiburan, muzik dan inspirasi gaya Raya di atas landasan MRT.

Dikendalikan oleh hos Melodi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim, acara ini akan berlangsung pada 12 Mac ini.

Runway bergerak ini dijadualkan memulakan perjalanan dari Stesen MRT Bandar Utama sebelum berakhir dengan acara kemuncak di Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX) yang pasti menjanjikan pengalaman visual serta suasana hiburan eksklusif buat penonton.

Mengangkat tema ‘Gaya Raya Glam’, inisiatif ini mengetengahkan konsep bahawa gaya Aidilfitri yang elegan dan berkualiti tidak semestinya memerlukan perbelanjaan besar.

Dengan sentuhan solekan dan pemilihan busana yang tepat, penampilan memikat sentiasa boleh direalisasikan walaupun di saat akhir, asalkan digayakan dengan penuh keyakinan.

Sepanjang perjalanan tren, seramai 20 model akan memperagakan koleksi Raya terkini daripada jenama fesyen tempatan, sekali gus memberi inspirasi gaya kepada masyarakat menjelang musim perayaan.

Usaha ini turut mencerminkan komitmen Melodi sebagai platform yang mengangkat bakat dan jenama tempatan, di samping membuka ruang kolaborasi strategik antara dunia fesyen, hiburan dan kandungan digital.

Di dalam tren, penumpang akan dihiburkan dengan persembahan daripada Nabila Razali, diikuti finalis One In A Million (OIAM) antaranya Marygrace, Kai Deva, Jimmy dan Mariam.

Kemeriahan kemudian beralih ke pentas utama di TRX yang bakal menampilkan Aisha Retno, Ernie Zakri dan Amir Masdi, selain penampilan Datuk Seri Aliff Syukri dan kemunculan semula Nabila Razali bersama finalis OIAM terbabit.

Orang ramai juga boleh menyertai peraduan di reruai khas yang dibuka di Stesen MRT Bandar Utama, Pasar Seni dan TRX, dengan peluang memenangi baucar beli-belah menarik.

Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada revolusi fesyen ini. Hadir ke Stesen MRT Bandar Utama jam 3 petang bagi memeriahkan sesi pelepasan rasmi (Flag Off), dengan pelbagai hadiah menarik untuk dibawa pulang.

Acara kemuncak pula berlangsung di Aras Concourse MRT Tun Razak Exchange (TRX) jam 4 petang buat mereka yang ingin menikmati suasana lebih mengujakan.

Melodi Glam Raya Runway 2026 mendapat sokongan Watsons Malaysia selaku penaja utama dan TikTok Shop sebagai penaja bersama. Keseluruhan acara turut distrim secara langsung menerusi TikTok MBuzz Terhangat bermula 3.30 petang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top