MUAR – Barisan Nasional (BN) tidak menghalang hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk meletakkan jawatan sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dibebaskan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, urusan membentuk kerajaan negeri tidak seharusnya dikaitkan dengan isu tersebut atau kerajaan Persekutuan.
“Alhamdulillah, letaklah jawatan. Memang kita nak dia letak jawatan. Kalau BN menang di Johor, kita hanya tubuh kerajaan negeri sahaja. Kerajaan negeri tidak ada kena-mengena dengan hal-hal di Persekutuan.
“Jadi janganlah cakap besar sangat. Saya tidak mahu menyentuh orang, (tetapi) dia mencabar kita, kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tidak ada masalah bagi kita,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program bersama penduduk DUN Simpang Jeram, pada Selasa.
Dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP dilapor akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.
Menurutnya, DAP juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan ‘garis merah’ parti tersebut.
Kor Ming turut mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal dengan mendakwa slogan ‘UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah’ merupakan agenda parti itu.
Sementara itu Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mengingatkan jentera parti untuk berkempen secara berhemah dan mantapkan jentera dan gerak kerja.
“Kita mesti terus bekerja kuat, jangan harapkan belas ihsan orang lain. Bina kekuatan sendiri supaya kita kuat.
“Kalau ada sesiapa ynak membantu, Alhamdulillah kita ucap terima kasih,” ujarnya.



