Pasukan ALAM Malaysia mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih Gold Prize dalam kategori berkumpulan di Andong International Maskdance Festival 2025 yang berlangsung dari 26 September hingga 5 Oktober di Andong, Korea Selatan.
Festival anjuran Korea Spiritual Culture Foundation ini dianggap antara platform seni bertopeng paling berprestij di dunia dan menghimpunkan pasukan dari lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Indonesia, Jepun, Itali dan Turkiye, menjadikannya salah satu acara budaya terbesar di Asia Timur tahun ini.
Dalam kategori berkumpulan, ALAM Malaysia diumumkan sebagai pemenang Gold Prize dengan hadiah bernilai ₩2,000,000. Kumpulan ini turut berjaya membawa pulang Bronze Prize untuk kategori individu melalui karya Hanuman: Searching the Human Within, sekali gus mencipta kejayaan berganda buat negara.

Karya utama mereka bertajuk Ātma Mukhaḥ: The Dancing Mask Searching for Its Many Faces menampilkan gabungan tarian, teater fizikal dan falsafah spiritual yang menggambarkan perjalanan jiwa manusia. Kisah enam watak utama iaitu Rama, Laksmana, Siti Dewi, Hanuman, Jentayu dan Rawana dijadikan simbol pelbagai sisi dalam diri manusia seperti kasih, tanggungjawab, kesetiaan, amarah dan pengorbanan.
Persembahan tersebut menggabungkan elemen warisan Nusantara dengan eksperimen kontemporari, lengkap dengan kostum yang diinspirasikan mitologi Asia Tenggara, muzik tradisional yang dipadukan dengan komposisi moden serta pencahayaan dramatik yang menambah kekuatan visual. Paduan ini memukau juri antarabangsa dengan mesej mendalam dan emosi yang kuat.
Ketua pasukan merangkap koreografer ALAM Malaysia, Amandus Paul Panan, meluahkan rasa bangga atas kemenangan ini yang disifatkan sebagai titik kebangkitan seni persembahan Malaysia di pentas global.

“Kejayaan ini lahir daripada cinta terhadap seni dan budaya kita. Kami datang bukan untuk menyaingi sesiapa, tetapi untuk berkongsi cerita tentang siapa kita melalui bahasa gerak. Dengan karya Ātma Mukhaḥ, kami menari bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi untuk seluruh komuniti seni di Malaysia yang percaya warisan kita masih dihargai dunia,” katanya.
Festival yang telah berlangsung selama lebih dua dekad ini menjadi antara acara seni paling ikonik di Korea Selatan, menyatukan pelbagai budaya dunia melalui seni topeng dan tarian. Tahun ini, ratusan artis antarabangsa dan ribuan pengunjung membanjiri Andong, kota yang sinonim dengan warisan topeng dan tradisi spiritual Korea.
Kejayaan ALAM Malaysia turut disokong oleh beberapa jenama tempatan seperti Choctop, One Drop Perfumes dan Behati yang percaya terhadap potensi seni tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
ALAM Malaysia ialah gabungan tiga kumpulan seni iaitu Anak Seni, Legasi Terindah dan Seri Mandala (Antava Projects) yang terdiri daripada penari profesional dan penggiat budaya berpengalaman. Pasukan ini berhasrat memperkukuh identiti budaya Malaysia melalui karya yang berpaksikan nilai kemanusiaan dan spiritual.




