Menangis ketika lukis keadaan di Gaza

Menangis ketika lukis keadaan di Gaza

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Minat terhadap anime dan percubaan melukis Dragon Ball ketika di bangku sekolah menjadi pencetus buat lelaki kelahiran Terengganu ini menceburi dunia seni lukis.

Sejak itu, Mohammad Hakimi Mohd Shafie, 32, banyak meluangkan masa dengan melukis, malah hobi berkenaan juga yang mendorongnya menyertai pelbagai pertandingan melukis.

Berbekalkan minat, Mohammad Hakimi menyambung pengajian ke peringkat Diploma Seni Halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak dan ilmu yang dipelajari tidak disia-siakan kerana digunakan bagi menjana pendapatan sebagai pelukis sepenuh masa.

Berkongsi kisahnya, Mohammad Hakimi berkata, dia menjadi pelukis sejak 10 tahun lalu dan selesa bergerak secara bebas.

“Mulanya lukis atas beg tote untuk berniaga diikuti baju-T, jual lukisan catan kanvas pada 2018 sebelum mural bermula 2020.

“Kiranya sudah lima tahun juga saya aktif sebagai pelukis mural dan kecenderungan saya adalah menghasilkan lukisan landskap atau panorama.

“Bayaran paling mahal pernah diterima untuk projek mural adalah RM8,000. Ia membabitkan projek lukisan mural di sebuah kedai di ibu negara yang mengambil masa seminggu untuk dihasilkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sentul, di sini.

Sebagai pelukis, anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui tidak dapat lari daripada berdepan cabaran dalam bidang seni lukis.

“Salah satu cabarannya adalah persaingan kerana skop kerja sebagai pelukis di negara ini tak besar, jadi kena usaha dan bersaing dengan lebih keras,” katanya.

Menurutnya, setiap lukisan atau mural dihasilkan mempunyai mesej tersendiri dan antara karya paling menyentuh hatinya adalah lukisan menggambarkan kehancuran bandar Gaza di Palestin akibat kekejaman Zionis.

“Lukisan itu saya hasilkan untuk pertandingan, cuma tak ada rezeki menang, tapi ia ada nilai sentimental dan saya hasilkan berpandukan beberapa gambar kehancuran bangunan di Gaza yang menggambarkan kesedihan rakyat di sana.

“Dalam lukisan itu, ada kapal terbang kertas dan ia adalah simbolik kepada mesej dan doa dititipkan rakyat seluruh dunia terhadap penduduk Palestin.

“Lukisan itu mengambil masa sebulan untuk disiapkan dan menangis juga waktu melukis kerana mengenangkan nasib saudara Islam di sana. Tapi puas kerana dapat luahkan rasa dan sampaikan mesej dengan lukisan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top