'Mencari Alasan luahan lirik Lukhman S nak berhenti kerja' – Exists

'Mencari Alasan luahan lirik Lukhman S nak berhenti kerja' – Exists

Kuala Lumpur:  Selepas 28 tahun, baru kini Kumpulan Exists mendedahkan lagu Mencari Alasan yang dilancarkan pada 1996 itu adalah lagu mengisahkan seseorang berhenti kerja dan bukan galau putus cinta.

Terdahulu, ia dijelaskan oleh anggota Exists iaitu Ezad Lazim, Musrad dan Along dalam program podcast di sebuah radio swasta baru-baru ini mengenai lagu hits, Mencari Alasan hasil ciptaan Rahim Othman dan lirik ditulis oleh Lukhman S itu.

“Saya tak menidakkan, tapi  mengiyakan yang lagu Mencari Alasan ada kena mengena dengan isu di tempat kerja. Dengar kata, Lukhman S yang ada masalah berkenaan ketika itu.

“Dia (Lukhman S) yang nak ‘resign’ (berhenti kerja) dari situ sebab dah tersekat lama di tempat kerja itu. Jadi, sebelum ‘resign’ dia tetap sempat buat lirik dan terhasillah Mencari Alasan yang mungkin memang ada kena mengena dengannya,” kata Ezad juga vokalis Exists.

Menurut Ezad lagi, kisah itu berlaku memang sudah lama ketika dia baru mula-mula memasuki industri seni dan isu berkenaan terkait dengan Lukhman S berhubung masalah di tempat kerja.

Musrad pula memberitahu, Exists pun mulanya berasakan lagu Mencari Alasan itu mengisahkan orang putus cinta yang tidak kesampaian dengan kekasih hati, tapi sangkaan meleset.

“Kisah sebenarnya lagu Mencari Alasan adalah luahan perasaan Lukhman S dalam lirik dibuatnya mengenai dia yang nak berhenti kerja. Lagi pula, keperibadian Lukhman S yang kita (Exists) kenal memang seorang agak sensitif. 

“Jadi, bila dia (Lukhman S) dikatakan ada isu di tempat kerja lama itu ada benarnya. Sebab, selepas saja lagu Mencari Alasan diserahkan kepada Exists, dia terus berhenti dan meninggalkan tempat kerja itu,” katanya.

Lagu Mencari Alasan yang dirakamkan Ezad ketika berusia 16 tahun itu masih ‘malar segar’ hingga kini dan terus diminati ramai walaupun pada kalangan peminat muzik generasi Z serta berbilang bangsa.

Sementara itu, usaha Harian Metro mendapatkan penjelasan daripada Lukhman S berhubung dakwaan berhenti kerja sebagaimana didedahkan Exists tidak berjaya apabila kiriman mesej dan panggilan telefon kepadanya tidak dibalas.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top