Keputusan akhir kes Syed Saddiq: Mahkamah mula bersidang

Keputusan akhir kes Syed Saddiq: Mahkamah mula bersidang

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mula bersidang jam 9 pagi tadi.

Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel itu mula membacakan penghakiman sebelum akan disusuli Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sejurus semua panel hakim membacakan penghakiman, mahkamah dijangka membuatkan keputusan akhir sama ada Ahli Parlimen Muar itu kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman terhadap empat pertuduhan yang dihadapi sebelum ini.

Sebelum ini, Syed Saddiq yang didapati bersalah di Mahkamah Tinggi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.

Bagaimanapun selepas rayuan dikemukakan, Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan bekas Ketua ARMADA BERSATU itu daripada semua pertuduhan.

Susulan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan sehari selepas keputusan itu.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada untuk melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.

Sepanjang prosiding rayuan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top