nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Agenda Malaysia Biru yang digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diterjemahkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 meletakkan lapan ikhtiar bagi mewujudkan kedudukan agenda Malaysia Biru.
“Apa yang kita nak bawa dalam Malaysia Biru untuk negara kita adalah untuk menghadapi cabaran-cabaran pada hari ini.
“Lapan cabaran itu sangat penting untuk memastikan supaya negara kita sentiasa aman dan stabil,” katanya.
Beliau ketika ditemui semasa menyantuni pengamal media yang membuat liputan PAU 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Zambry berkata, Ahmad Zahid mahu memantapkan kedudukan BN dan UMNO dalam usaha mempersiapkan parti itu bagi menghadapi pilihan raya.
“Seperti yang kita ketahui pilihan raya terdekat adalah di Melaka dan diikuti pilihan raya di peringkat kebangsaan barangkali, cuma kita tidak tahu bila.
“Justeru, kita memerlukan perancangan teliti bagi memastikan negara kita sentiasa berada dalam keadaan aman dan makmur,” katanya.
Mengulas mengenai inti pati perbahasan perwakilan pada PAU kali ini, beliau berkata, ada banyak isu disentuh berkaitan negeri masing-masing.
“Mungkin perkara-perkara yang dicadangkan atau dimohon perwakilan disuarakan untuk diberi perhatian (pucuk pimpinan).
“Namun, apa yang paling mustahak ialah bagaimana kita mahu mengarah kepada satu tujuan seperti mana dalam ucapan dasar Presiden termasuk agenda Malaysia Biru,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

