Sidang BRICS dibayangi isu perang

NEW DELHI – Sidang Kemuncak BRICS membuka tirainya di New Delhi pada Sabtu dalam bayang-bayang dua konflik besar dunia ketika perang di Asia Barat dan Ukraine menguji keupayaan blok 11 negara itu untuk mencari titik persamaan di sebalik kepentingan anggotanya yang semakin berbeza.

Ketegangan geopolitik, ketidaktentuan perdagangan global dan keselamatan tenaga dijangka mendominasi pertemuan dua hari itu yang menghimpunkan pemimpin beberapa kuasa utama dunia antaranya Perdana Menteri India, Narendra Modi; Presiden China, Xi Jinping; Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian tiba di New Delhi ketika negaranya berdepan perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang turut mencetuskan krisis tenaga global.

Pezeshkian pada Jumaat berkata, tekanan terhadap Iran sudah mencapai tahap ‘kritikal dan berbahaya’ susulan apa yang disifatkannya sebagai pencerobohan ketenteraan AS dan Israel.

Perhatian khusus terarah kepada konflik di Asia Barat yang kini menjadi antara cabaran terbesar kepada kesatuan BRICS selepas peluasan keanggotaannya membawa Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke dalam blok sama meskipun mempunyai kepentingan serta pendirian berbeza terhadap perang tersebut.

Ketika BRICS mahu tampil sebagai suara alternatif kepada institusi global yang didominasi Barat, kegagalan mencapai pendirian bersama mengenai konflik utama dunia boleh menjejaskan kredibiliti dan pengaruhnya. – AFP

Scroll to Top