Sudah 'edah pilihan raya', PRU16 wajar disegerakan – Asyraf Wajdi

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) wajar segera dilaksanakan kerana tempoh pentadbiran kerajaan ketika ini sudah memasuki ‘edah pilihan raya’, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata, ‘edah pilihan raya’ merujuk tempoh selepas tiga tahun sesuatu kerajaan mentadbir yang membolehkan pilihan raya diadakan, meskipun tempoh maksimum lima tahun bagi sesuatu Parlimen masih belum berakhir.

“Bagi pandangan UMNO, sepertimana yang kita lihat daripada perbahasan perwakilan, kita sudah sampai kepada edah pilihan raya. Cuma belum tamat tempoh lima tahun.

“Edah pilihan raya maknanya apa sahaja selepas tiga tahun, itu adalah edah-edah yang dibolehkan untuk mengadakan pilihan raya,” katanya pada sidang media di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf berkata, UMNO melihat sebarang perancangan besar yang ingin dilaksanakan atau ditawarkan kepada rakyat perlu mendapat mandat jelas daripada mereka, khususnya apabila membabitkan agenda besar parti.

Beliau berkata, perkara itu turut disuarakan perwakilan UMNO bukan sahaja pada PAU, malah dalam persidangan sayap parti.

“Bagi UMNO, seperti disebutkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan juga disebutkan oleh perwakilan, bukan saja di peringkat PAU tetapi di peringkat sayap-sayap.

“Sebagai kerajaan ataupun sebagai parti yang bertanggungjawab, apa juga perancangan besar yang parti ingin lakukan, yang ingin kita tampilkan kepada rakyat adalah amat wajar untuk kita memberikan mandat itu kepada rakyat untuk memilih,” katanya.

Asyraf berkata, keadaan itu pernah berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila pilihan raya diadakan selepas tempoh pentadbiran kerajaan negeri mencecah empat tahun satu bulan.

Katanya, ketika itu kerajaan negeri mempunyai perancangan besar untuk tempoh 10 tahun akan datang menerusi gagasan ‘Johor Maju Johor’ yang memerlukan mandat jelas daripada rakyat.

“Jadi ia tidak boleh syok sendiri, ia mesti mendapat mandat yang jelas daripada rakyat,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, UMNO berhasrat mahu PRU16 disegerakan bagi membolehkan parti itu mendapatkan semula mandat rakyat untuk menerajui kepimpinan negara.

Katanya, PRU16 akan menjadi titik penentuan bagi UMNO untuk kembali memimpin negara dan bukan sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top