'Mendiang bapa tiada tabiat minum arak' – Anak pemandu kereta dalam kemalangan tular

'Mendiang bapa tiada tabiat minum arak' – Anak pemandu kereta dalam kemalangan tular

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Mendiang bapa tiada tabiat minum arak dan dia juga ‘vegetarian’ sejak beberapa tahun lalu.

“Kami masih berdukacita dengan kejadian ini dan berharap orang ramai hentikan tohmahan itu,” kata wanita dikenali Tamil, 40-an, mengulas mengenai dakwaan orang ramai yang mengaitkan bapanya memandu dalam keadaan mabuk ketika terbabit kemalangan di Kampung Sempadan, Batu Pahat, semalam.

Video kejadian tular di media sosial yang memperlihatkan Perodua Kancil dipandu mangsa berusia 72 tahun seperti tidak tentu arah, sebelum memasuki laluan bertentangan dan kemalangan dengan sebuah kenderaan lain.

Warga emas itu terkorban dalam kemalangan berkenaan.

Tamil mendakwa bedah siasat ke atas mayat bapanya mengesahkan punca kematian akibat pelbagai kecederaan.

Dia juga mendakwa bapanya tidak mabuk seperti diperkata orang ramai yang memberikan pelbagai reaksi terhadap video kemalangan itu.

“Kemungkinan (ketika itu) bapa diserang ‘hypo’ (hipoglisemia) disebabkan paras gula menurun. Sebelum ini beberapa kali dia mengalami serangan ketika di rumah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengimbas kejadian, wanita itu berkata, mereka sekeluarga hanya mengetahui bapanya terbabit kemalangan pada 1 tengah hari selepas abangnya dihubungi seorang kenalan.

Dakwanya, mereka sekeluarga tidak tahu mendiang keluar dari rumah di Muar kerana tidak dimaklumkan dan panggilan telefon tidak dijawab.

“Saya keluar ke tempat kerja kira-kira 6 pagi, ibu pula ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan berkala.

“Kami memang melarang bapa keluar seorang diri kerana khuatirkan keselamatannya. Tak sangka semalam dia memandu tanpa memaklumkan apa-apa.

“Sebelum itu saya difahamkan dia sempat jumpa rakannya, namun tidak pasti mengapa dia memandu menghala ke Batu Pahat,” katanya.

Sementara itu, Harian Metro sedang mendapatkan pengesahan polis berhubung kes itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top