Soalan
Mengapakah sebahagian umat Islam ada yang bertudung ketika akad nikah, namun ketika majlis bersanding dia tidak memakai tudung?
Jawapan
Berdasarkan situasi di atas, ia berkait dalam bab menutup aurat dengan sempurna iaitu keseluruhan anggota badan kecuali tapak tangan dan muka.
Firman ALLAH SWT: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta wanita-wanita yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai wanita yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.” (Surah al-Ahzab: 59)
Untuk wanita Islam yang mukallaf iaitu orang yang telah cukup umur yg wajib melaksanakan perintah ALLAH SWT, diwajibkan untuknya menutup aurat dengan sempurna di tempat awam dan terbuka.
Di tempat akad nikah dan majlis walimatulurus, kedua-duanya dihadiri oleh ajnabi atau orang asing dan sewajibnya bagi setiap umat Islam menutup aurat dengan sempurna.
Bukan di kedua-dua tempat itu sahaja, bahkan di semua tempat yang hadirnya orang asing, diwajibkan bagi umat Islam menutup aurat termasuk di dalam rumah sendiri.
Lebih-lebih lagilah wajib tutup aurat di tempat terbuka seperti kedai, pasaraya, jalanan dan sebagainya.
Kita doakan kepada umat Islam masing-masing dapat melaksanakan kewajipan menutup aurat dengan sempurna.
Kepada individu yang dah berkahwin, adalah menjadi tanggungjawab suami untuk menegur isteri yang tidak menutup aurat. Begitu juga dengan ayah, tanggungjawabnya untuk memerintahkan anak-anak menutup aurat dengan sempurna.



