am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jumlah tunggakan bayaran interim kepada kontraktor serta pampasan pemilik tanah yang masih belum dilunaskan setakat 30 September lalu berjumlah RM259.503 juta membabitkan 112 projek.
EXCO Pemuda UMNO yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Fadzmel Fadzil berkata, situasi itu mengakibatkan kontraktor kecil, termasuk kontraktor Bumiputera tidak memperoleh bayaran biarpun kerja sudah diselesaikan.
Beliau berkata, tunggakan itu menepis tuduhan kononnya KKDW sudah membuat komitmen berlebihan, sebaliknya ia hasil tunggakan daripada tahun-tahun terdahulu, di mana projek sudah berjalan tetapi tidak dibayar.
“Apa yang ramai tak tahu, surat bertarikh 10 September lalu oleh MOF (Kementerian Kewangan) secara jelas mengarahkan langkah kawalan perbelanjaan. Satu duit tunggakan tak diberikan, duit yang sudah diluluskan diarahnya untuk ‘ditangguhkan’.
“Sebab itulah kita mahu MOF jawab, tangguh itu sampai bila? Tangguh tanpa tarikh itu samalah ertinya dengan ‘batal’. Sebab dari mantan Menteri Kewangan jadi menteri sehinggalah sudah lompat banyak parti, masih tiada jawapan.
“Kenapa tarikh tangguh ini penting? Ini kerana setiap tahun KKDW pasti akan ada senarai projek baharu yang sudah pun ditetapkan. Jadi, kalau projek lama pun tertangguh tanpa kepastian jadual pelaksanaan, ia memang merosakkan perancangan pembangunan rakyat dan hampir pasti tidak akan serta tak mampu dilaksanakan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Ketika ini, beliau berkata, KKDW terpaksa menggunakan peruntukan dalaman sedia ada atau peruntukan bagi tahun kewangan semasa untuk membayar segala tunggakan yang ada.
“Apabila peruntukan itu dialihkan, KKDW terpaksa mengorbankan pelaksanaan program dan projek penting lain yang membabitkan rakyat di bawah.
“Antara terjejas teruk ialah peruntukan pembinaan baharu dan baik pulih rumah golongan miskin termasuk rumah Orang Asli membabitkan RM200 juta, serta bantuan kepada usahawan kecil B40 untuk menjalankan aktiviti ekonomi, termasuklah pembelian enjin bot bagi nelayan dan jentera untuk petani,” katanya.
Beliau juga meminta bekas Menteri Kewangan mengemukakan bukti kementerian itu terpaksa menggunakan peruntukan kementerian lain, untuk menjelaskan tunggakan berkenaan.
“Sila kemukakan. Setakat ini kementerian masih menggunakan Surat Kebenaran Berbelanja (SKB) yang menggunakan peruntukan dalaman. Tetapi kalau betul-betul MOF mahu beri. Alhamdulillah,” katanya.
Beliau berkata, semua komitmen kelulusan dan perbelanjaan projek luar bandar adalah melalui kelulusan MOF dan Kementerian Ekonomi, sementara Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.
“KKDW hanya akan menerima hasrat masyarakat luar bandar sebelum membuat perancangan pembinaan jalan mengikut kelulusan yang telah diberikan.
“Bekas Menteri Kewangan mesti tahu perkara ini, sebab boleh tanya dia berapa banyak projek untuk rakyat di bawah tangan dia yang sudah dia tangguh, kemudian batal.
“Untuk jalan luar bandar, sebanyak 40 projek JALB dengan kos keseluruhan RM5.14 bilion terpaksa dibatalkan proses tender, manakala 87 projek lagi membabitkan kos RM8.10 bilion ditangguhkan pengeluaran Surat Setuju Terima (SST). Ini termasuk projek jalan untuk rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.
Justeru katanya, dakwaan kononnya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap bohong berhubung ulasan mengenai isu projek jalan luar bandar tidak benar, sebaliknya KKDW hanya bertindak mengikut tatacara kewangan kerajaan.
“Percayalah, jalan luar bandar ini adalah nadi kehidupan rakyat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung, bukannya bahan politik murahan untuk nak sedapkan mulut bercakap.
“Akhirnya yang tak dapat bukan macam bekas Menteri Kewangan yang duduk kawasan orang kaya-kaya tetapi rakyat luar bandar yang terlalu banyak terkesan. Sistem pentadbiran negara ini perlukan fakta tepat, bukan tafsiran sesuka hati nak selamatkan muka sendiri.
“Dua minggu di Melaka akan kami terang bulat-bulat perkara ini. Di Sarawak juga rakyat pasti mengundi. Biar rakyat desa tahu siapa yang sebenar-benarnya menipu dalam hal ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




