Musim haji dinantikan setiap tahun khususnya oleh mereka yang diberikan peluang untuk menunaikan ibadah haji disambut dengan lafaz talbiah saling bersahutan memuji dan membesarkan Allah SWT. Ibadah yang menjadi rukun Islam kelima ini dilaksanakan setahun sekali adalah suatu ibadah sangat penting bagi setiap Muslim. Ia bagai mendirikan salah satu tiang dalam agama yang wajib ditunaikan apabila telah mampu dan cukup syarat.
Antara rukun bagi haji ialah wukuf di Arafah. Wukuf bermaksud berhenti iaitu berhenti seketika di Arafah pada 9 Zulhijah antara gelincir matahari hingga terbit faajr hari ke-10. Arafah adalah kawasan yang terletak kira-kira 28 kilometer dari Masjidil Haram yang menjadi tempat untuk jemaah haji berwukuf. Mengapa ibadah wukuf di Arafah ini disyariatkan? Ia berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW bersabda: “Haji (itu) ialah Arafah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Ini membawa maksud bahawa tidak sempurna haji seseorang jika dia tidak melaksanakan wukuf di Arafah.
Ada satu kisah yang sangat bermakna dalam Islam yang dirakamkan dalam Surah al-Baqarah ayat 199. Ayat ini menerangkan tentang satu kelompok dalam kalangan Quraisy pada zaman jahiliah yang digelar sebagai al-Hums, mereka tidak berwukuf di Arafah bersama orang Arab lain dan memilih untuk berwukuf di Muzdalifah sahaja. Bagi mereka, orang yang memikul tugas sebagai penjaga Kaabah dan Tanah Haram seperti mereka adalah tidak patut untuk keluar dari kawasan Tanah Haram, sedangkan pada hakikatnya mereka sombong dengan kelebihan mereka. Perasaan itu menghalang mereka daripada keinginan duduk setempat bersama orang lain kerana berasakan taraf mereka tinggi dan tidak sama berbanding dengan yang lain. Lalu ayat ini memerintahkan semua jemaah yang menunaikan haji untuk berwukuf di Arafah. Antara hikmah syariat ini diperintahkan ialah membuktikan bahawa Islam sangat menekankan tentang kesamarataan kedudukan dan taraf manusia, tanpa perlu mengira pangkat dengan mengasingkan sesama manusia. Maka, peristiwa Arafah ini mendidik manusia nilai kebersamaan tanpa tidak mengira orang kaya atau miskin, tua atau muda, semuanya memiliki tujuan yang sama pada hari itu dengan berkain ihram.
Apabila ditelusuri ibadah wukuf ini, perkara perlu diketahui ialah mengenai ganjaran dijanjikan, tidak kira bagi mereka yang menunaikan haji atau tidak. Hal ini kerana masa dan waktu wukuf itu sendiri membawa seribu kebaikan dan pelbagai kelebihan yang sangat besar umat Islam. Ada banyak hadis menyebut tentangnya yang mengisyaratkan kelebihan dan keutamaan supaya mampu menjadi pemangkin semangat seseorang untuk meningkatkan kualiti ibadah dalam mendekatkan diri kepada Allah Azzawajalla.
Bagi jemaah haji, pada waktu wukuf mereka perlu meletakkan segala tumpuan sepenuhnya dengan hanya beribadah kepada Allah semata-mata. Pada masa sama, mereka disuruh mengelakkan daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan amalan dan tumpuan beribadah. Antara cara meningkatkan tahap tawajuh pada Hari Arafah ialah membuat persiapan sebelum hari berkenaan dengan memperteguhkan niat semata-mata kerana Allah dan berusaha untuk istiqamah dengan melaksanakan amalan harian sambil muhasabah diri berasakan peluang ini sangat berharga dek tidak semua orang dikurniakan peluang untuk menunaikan haji seperti mereka. Tambahan pula duduk di satu tempat yang mulia pada waktu yang mulia.
Antara amalan lain yang paling masyhur pada bulan haji ialah puasa Arafah. Amalan ini direkodkan berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Qatadah RA, bahawa Nabi SAW ditanya berkenaan berpuasa pada hari Arafah lalu baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” (Hadis Riwayat Muslim)
Dalil ini menjadi bukti bahawa berpuasa pada Hari Arafah satu amalan yang amat besar ganjarannya iaitu ia boleh menghapuskan dosa setahun sebelum dan setahun selepasnya. Puasa ini sangat digalakkan dan menjadi kerugian bagi yang meninggalkannya kerana ‘kewujudannya’ hanya setahun sekali, lalu peluang ini dijadikan satu daripada pintu ke arah pengabdian diri dan meningkatkan momentumnya untuk terus berpuasa pada masa akan datang selepas Aidiladha kelak.
Selain puasa, zikir juga dikira amalan besar ketika musim ini. Perbuatan membasahkan lidah dengan mengingati Allah, Tuhan Maha Pencipta sekalian alam dengan melafazkan puji-pujian terhadap-Nya, mampu memberkaskan hati kemudian menyucikan diri seseorang daripada segala bentuk penyakit kerisauan yang membelenggu manusia. Antara zikir terbaik yang dianjurkan ialah zikir yang diajarkan oleh baginda Nabi menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan Imam al-Tirmizi, “La ilaha illa Allahu wahdahu la syarika lahu, lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa ‘ala kulli syaiin qadir.”
Kemudian, seseorang turut digalakkan untuk memperbanyakkan berdoa kepada Allah semasa hari Arafah. Hal ini kerana ia waktunya mustajab doa. Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa: “Sebaik-baik doa ialah doa (pada) hari Arafah.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Al-Mubarakfuri menjelaskan dalam syarahannya bahawa maksud hadis ini ialah merujuk kepada doa yang paling cepat dipenuhi dan dikabulkan oleh Allah SWT. Maka pada Hari Arafah ini, umat Islam dituntut untuk berdoa kepada Allah dengan penuh penghambaan dan berharap kepada-Nya semoga dikurniakan perkara yang terbaik untuk diri mereka.
Hari Arafah seharusnya mengingatkan seseorang kepada hari akhirat apabila manusia dikumpulkan di Padang Mahsyar pada akhirat nanti. Keadaan ini menyedarkan manusia bahawa kehidupan di dunia ini akan berakhir menuju kehidupan abadi, akhirat yang bersifat jauh lebih sukar dan meletihkan berbanding kehidupan di dunia. Sebagaimana orang yang ingin menyelamatkan dirinya daripada kebinasaan dunia seperti kemiskinan, sakit ataupun kesusahan, maka dia akan berusaha. Begitu juga alam akhirat, seseorang perlu melihat lebih jauh ke hadapan dan bersungguh-sungguh melakukan persediaan bekal ke sana. Jadi, ibadat haji dan amalan yang tersedia di dalamnya mempunyai cerita dan hikmahnya tersendiri. Iktibar perhimpunan gergasi manusia di Tanah Haram ini memperlihatkan segala bentuk kesengsaraan dan kesusahan di alam akhirat kelak.
Penulis Ketua Nuqaba’ Universiti Islam Melaka (UNIMEL)
© New Straits Times Press (M) Bhd




