Sentuhan ihsan pada haiwan

Sentuhan ihsan pada haiwan

mahaizura@mediaprima.com.my

TUGAS doktor veterinar bukan sekadar merawat haiwan, malah turut berdepan cabaran mengendalikan haiwan yang dianggap sensitif dalam masyarakat seperti anjing dan khinzir.

Bagi Dr Salehatul Khuzaimah Mohamad Ali yang mempunyai 17 tahun pengalaman dalam bidang perubatan veterinar, tanggungjawab itu perlu dilaksanakan secara profesional biarpun segelintir masyarakat masih kurang memahami tugas sebenar profesion itu.

“Sebagai doktor veterinar Muslim, saya melihat tugas merawat haiwan sebagai satu amanah dan tanggungjawab kemanusiaan.

“Dalam Islam, semua haiwan ialah makhluk ciptaan Allah SWT dan berhak mendapat layanan baik serta belas kasihan tanpa mengira spesiesnya,” katanya. Menurutnya, walaupun terdapat hukum tertentu berkaitan anjing dan khinzir daripada sudut ibadat dan kebersihan, ia tidak bermaksud haiwan itu boleh diabaikan atau dizalimi.

“Masih ada segelintir masyarakat melihat haiwan seperti anjing secara negatif kerana kurang memahami perbezaan antara hukum agama dan layanan terhadap haiwan.

“Islam tidak mengajar kita membenci haiwan. Apa yang ditekankan ialah penjagaan batas kebersihan dan hukum tertentu, namun pada masa sama Islam sangat menuntut umatnya berlaku ihsan kepada semua makhluk,” katanya.

Menurut beliau, profesion veterinar juga memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan haiwan, kesihatan awam dan keselamatan masyarakat daripada penyakit zoonotik yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia.

“Haiwan banyak bergantung pada bahasa badan, nada suara dan sentuhan kerana mereka tidak memahami kata-kata seperti manusia.

“Doktor veterinar bertanggungjawab memahami kesakitan dan keperluan haiwan dengan salah satunya melalui sentuhan semasa pemeriksaan fizikal yang menjadi sebahagian daripada komunikasi haiwan.

“Kerana itu, profesion ini memerlukan empati, kesabaran dan nilai ihsan yang tinggi,” katanya.

Mengulas tanggapan masyarakat, doktor veterinar sentiasa boleh memakai sarung tangan ketika merawat haiwan, beliau berkata, ada keadaan tertentu yang memerlukan sentuhan secara langsung.

“Sarung tangan memang penting untuk tujuan kebersihan dan keselamatan, namun dalam sesetengah keadaan sentuhan secara langsung lebih membantu terutama ketika menenangkan haiwan ketakutan, tekanan atau trauma.

“Sentuhan tanpa lapisan tebal ada kalanya memberi sensitiviti lebih baik kepada doktor terutama ketika memeriksa denyutan nadi, tahap dehidrasi atau mengendalikan haiwan kecil dan lemah.

“Ada haiwan menjadi lebih tenang apabila disentuh secara berhati-hati berbanding hanya menggunakan alat atau sarung tangan tebal,” katanya.

Menurutnya, sentuhan secara langsung juga membantu doktor menilai keadaan kulit, luka, keruping atau ketumbuhan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Namun, kata beliau, penggunaan sarung tangan tetap diamalkan apabila membabitkan risiko jangkitan, luka terbuka atau prosedur tertentu.

“Dalam situasi kecemasan pula, doktor ada kalanya perlu bertindak pantas tanpa sempat memakai sarung tangan bagi menyelamatkan nyawa haiwan,” katanya.

Mengulas aspek kebersihan dan kesucian diri, beliau berkata, doktor veterinar Muslim tetap perlu menjaga tuntutan agama selepas mengendalikan haiwan tertentu seperti anjing atau khinzir.

“Selepas mengendalikan haiwan tertentu, kami akan membersihkan diri mengikut garis panduan ditetapkan iaitu melakukan sertu tujuh kali basuhan termasuk sekali menggunakan air bercampur tanah.

“Pada masa sama, amalan kebersihan standard seperti mencuci tangan dan disinfeksi peralatan juga sangat penting untuk mencegah penyebaran penyakit,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu memahami, haiwan juga mempunyai perasaan, rasa takut, sakit dan penderitaan seperti makhluk lain.

“Ada haiwan cedera di tepi jalan tetapi orang takut mendekati kerana ia anjing dan dianggap haram. Ada kalanya haiwan dibiarkan terlalu lama tanpa bantuan sehingga keadaannya menjadi lebih serius dan menyedihkan.

“Walaupun ada haiwan dianggap sensitif daripada sudut agama, itu bukan alasan untuk membenci, menyeksa atau mengabaikannya.

“Kita mungkin tidak mampu menyelamatkan semua haiwan, tetapi sekurang-kurangnya kita boleh memilih untuk tidak berlaku zalim,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top