PENGENDALI Sabah FC, Juan Torres Garrido mengakui faktor keletihan dan kelemahan mental antara punca The Rhinos gagal bangkit sebelum tewas 1-2 kepada DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan Sabah mengalami kekalahan ketiga berturut-turut selepas mengharungi jadual padat sejak dua minggu lalu, bermula dengan tewas 0-2 kepada Kuching City dalam aksi Liga Super pada 5 September dan 1-2 kepada Selangor pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala FA pada 9 September.
Menurut Garrido, Sabah memulakan perlawanan dengan baik dan masih mempunyai tenaga memberikan tekanan kepada lawan pada separuh masa pertama sehingga berjaya mendapatkan gol penyamaan.
Namun, prestasi anak buahnya merosot selepas rehat sebelum DPMM FC kembali menghukum mereka.
“Kami tidak gembira. Saya fikir kami bermula dengan baik, tetapi bolos gol yang sepatutnya dapat dielakkan.
“Separuh masa pertama, pasukan masih mempunyai tenaga, terus menyerang dan kami mendapat gol penyamaan.
“Bagaimanapun, kami tidak bermain baik pada separuh masa kedua. Saya tidak tahu sama ada disebabkan faktor tenaga atau kami terlalu mudah dan naif dalam beberapa situasi sehingga sekali lagi dibolosi,” katanya selepas perlawanan.
Sabah gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila DPMM membuka tirai jaringan menerusi tandukan Ebenezer Abban pada minit ke-12.
Rhinos kemudian bangkit menyamakan kedudukan minit ke-25 hasil rembatan Gonzalo Di Renzo untuk mengikat kedudukan separuh masa pertama.
Separuh masa kedua, DPMM kembali mendahului pada minit ke-65 menerusi Jordan Murray untuk kedudukan 2-1.
Sabah cuba mengembalikan semula momentum permainan, namun gagal menambah jaringan sehingga wisel penamat.
Garrido berkata, Sabah juga tidak cukup kuat dari aspek mental untuk memberikan reaksi selepas kembali ketinggalan.
Pengendali kelahiran Sepanyol tersebut mengakui DPMM mengeksploitasi kelemahan Sabah terutama ketika melakukan serangan.
“Kami terlalu mudah bolos dan mereka mempunyai pemain serta penyerang yang bagus. Mereka bijak menyerang ruang.
“Kami tidak menghalang transisi seperti yang sepatutnya dan mereka mengambil kesempatan. Saya fikir mereka menyerang kelemahan kami dengan sangat baik,” ujarnya.