SHAH ALAM – Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memaklumkan beliau akan berkongsi gerak kerja dan tugas hariannya sebagai menteri menerusi tayangan vlog atau in real life (IRL) di platform YouTube bermula Selasa.
Akmal Nasrullah berkata, inisiatif tersebut merupakan respons sinis terhadap segelintir penyokong Pas yang sebelum ini memenuhi ruangan komen media sosialnya selepas beliau mengkritik kenyataan yang disifatkan mengelirukan berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Menurut beliau, antara reaksi yang diterima termasuk persoalan mengenai tugasnya sebagai Menteri Ekonomi serta kritikan terhadap keterbukaannya mengulas isu semasa di media sosial.
“Saya petik angka yang penat-penat diusahakan oleh pesuruhjaya-pesuruhjaya daripada laporan RCI, tetapi ia tetap dikatakan sebagai kenyataan ‘ceplos’.
“Inilah modus operandi, apabila tidak dapat menjawab dengan fakta, mereka memberi gelaran.
“Jadi, saya ada hadiah untuk penyokong Pas. Disebabkan mereka hendak sangat melihat kerja saya, jika sebelum ini saya hanya berkongsi video pendek, selepas ini saya akan berkongsi video yang lebih panjang menerusi vlog atau in real life di YouTube bermula hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, pihaknya sememangnya kerap memuat naik kandungan berkaitan aktiviti dan gerak kerja Kementerian Ekonomi menerusi pelbagai platform media sosial.
Menurut beliau, antara perkara yang sering diketengahkan termasuk usaha memperkenalkan gaji premium bagi meningkatkan taraf hidup golongan muda, pembangunan ekonomi di negeri-negeri utara, pengukuhan ekonomi kreatif atau ekonomi jingga serta pelbagai agenda pembangunan negara.
Akmal turut menjelaskan bahawa beliau lebih gemar menjawab sendiri isu yang dibangkitkan berbanding menyerahkan tugas tersebut kepada pihak lain.
“Kalau menteri tidak boleh menjawab, seronoklah ahli-ahli politik lain mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang ramai.
“Tetapi mungkin masih ada yang tidak berpuas hati. Jadi saya mengajak orang ramai menonton vlog saya di saluran YouTube Akmal Nasir,” katanya.
Beliau berkata, episod pertama vlog tersebut memaparkan lawatannya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, termasuk usaha menyelesaikan isu berkaitan permohonan peningkatan kos bagi kerja-kerja naik taraf kemudahan hospital berkenaan.
