Menteri Luar Korea Selatan lawat Malaysia

Menteri Luar Korea Selatan lawat Malaysia

PUTRAJAYA – Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima kunjungan rakan sejawatnya dari Korea Selatan Park Jin sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Malaysia bermula semalam.

Ini merupakan lawatan sulung Park ke Malaysia sejak beliau dilantik sebagai Menteri Luar Korea Selatan pada Mei 2022, menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Isnin.

Semasa lawatan itu, kedua-kedua-dua menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan usaha-usaha dalam memperkukuh hubungan antara Malaysia-Korea Selatan yang telah lama terjalin serta kerjasama dalam pelbagai bidang.

Wisma Putra memaklumkan antara agenda utama yang akan dibincangkan termasuk kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, tenaga hijau, kebudayaan, pertahanan dan pendidikan.

Selain itu, kedua-dua pihak akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Park juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa lawatan Park adalah bertepatan dengan sambutan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP) oleh Malaysia dan Korea Selatan.

“Lawatan ini akan menjadi platform bagi kedua-dua pihak untuk menaik taraf hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi, berlandaskan prinsip kepentingan bersama, saling percaya dan kesalinghubungan sesama rakyat,” menurut kenyataan itu.

Pada 2022, Korea Selatan merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak RM114.21 bilion (US$25.94 bilion), meningkat 29.3 peratus daripada nilai yang dicatatkan pada 2021.

Korea Selaran juga merupakan pelabur asing ketujuh terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan untuk projek yang dilaksanakan bernilai RM33.0 bilion (US$9.25 bilion).- BERNAMA