Menuduh orang lain biar ada bukti

Menuduh orang lain biar ada bukti

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 53)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

Advertisement

UMAR al-Khattab, ketika pemerintahannya, melihat seorang lelaki dan perempuan berzina.

Beliau mengumpulkan para Sahabat lain meminta pandangan mereka, apa yang patut dibuat. Umar tidak menyebut nama dua orang pelaku itu.

Ali bin Abi Talib berkata: ‘Amir al-Mukminin mesti datangkan empat orang saksi, kalau tidak dia disebat sebagai hukuman tuduh zina (iaitu 80 rotan) jika dia menyebut nama kedua-dua orang yang dilihatnya itu. Perkara ini sama seperti orang Islam yang lain.

Kemudian Ali membaca firman Allah:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya: “Dan orang yang menuduh perempuan- perempuan yang baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka lapan puluh kali, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Mereka itulah orang yang fasik”
An-Nur: 4

Umar diam, dan beliau tidak menyebut nama 2 orang yang melakukan jenayah itu.

(Al-musawah fil-Islam, Dr Ali Abdul Wahid Wafi ms 39)

Beberapa pengajaran dari kisah di atas:

1- Orang yang jahat dan baik ada di sepanjang zaman, termasuk di zaman Umar al-Khattab.

2- Kemungkinan pemerintah atau pemimpin tertinggi sendiri terserempak dengan orang yang melakukan maksiat atau jenayah. Namun, ia tidak boleh terus diterima melainkan ada bukti.

3- Islam meletakkan nilai maruah dan harga diri manusia sangat tinggi. Ia tidak boleh dicela, dimaki, difitnah atau dituduh dengan sewenang- wenangnya. Bukti, saksi mesti dibawa oleh orang yang menuduh orang lain. Jika tidak, masyarakat akan jadi tunggang langgang dengan sebab semua orang boleh menyebut terhadap orang lain tanpa bukti.

4- Dalam kes zina, 4 orang saksi yang adil mesti ada. Jika tidak, si penuduh akan dikenakan hukuman 80 sebatan pula kerana menuduh zina terhadap orang lain.

5- Apa yang dibuat oleh Saidina Umar benar, kerana bermesyuarat dan meminta pandangan dari para Sahabat lain. Ia mengajar kita untuk sentiasa berbincang dan bermesyuarat.

6- Saidina Ali pula berpegang dengan syarak mengatasi pemimpin, walaupun orang itu Umar. Dari sini kita belajar bahawa hukum Islam itu yang mesti diletak di atas, bukan menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung, mengikut pemimpin sekalipun salah.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 13/10/2022