Menyamar pakai 'vest', curi 300 meter kabel milik TM

Menyamar pakai 'vest', curi 300 meter kabel milik TM

am@hmetro.com.my

IPOH: Memakai ‘vest’ pekerja penyelenggaraan, bertindak awal pagi, itu modus operandi lapan individu ketika mencuri kabel talian komunikasi milik Telekom Malaysia (TM) sepanjang kira-kira 300 meter.

Bagaimanapun tindakan pencuri kabel berkenaan itu gagal selepas berjaya diberkas polis ketika melakukan perbuatan itu di Jalan Keliling, Taman Canning, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata lapan lelaki terbabit berusia antara 18 hingga 36 tahun ditahan jam 3.30 pagi tadi di Kampung Bharu, di sini.

Menurutnya, aktiviti kumpulan itu dilaporkan seorang penduduk di situ yang terlihat kumpulan lelaki berkenaan yang menaiki kereta pacuan empat roda didapati membuka ‘manhole’ (lurang) di atas jalan raya sambil sedang menarik kabel talian terbabit kira-kira jam 2.30 pagi semalam (Selasa).

“Pengadu yang mendiami kawasan itu terus berhubung dengan polis. Apabila suspek menyedari kehadiran pengadu, mereka terus melarikan diri menggunakan dua lagi kereta Perodua Axia warna biru.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh membuat intipan lalu berjaya menangkap lapan suspek sekitar jam 3.30 pagi tadi,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian itu, hari ini.

Menurutnya, tujuh daripada lapan suspek yang ditangkap didapati mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah serta dadah.

“Polis juga merampas peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel berkenaan termasuk ‘vest’ yang dipakai, serta kenderaan pacuan empat roda yang digunakan ketika kejadian.

Sementara itu, Azizi berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pembabitan orang dalam serta dilakukan mereka yang profesional dalam kegiatan jenayah itu.

“Saya turun padang melihat betapa panjangnya mereka menarik kabel di tepi jalan depan rumah orang, di mana pencurian sebegini memerlukan teknik dan peralatan khas bagi memudahkan mereka menarik kabel.

“Ini menunjukkan bahawa ini bukanlah sebarang pencurian yang boleh kita sabitkan (anggap) dengan kecurian kecil. Ini bukan kerja penagih dadah, (sebaliknya) ini kerja mereka yang profesional.

“TM, biasanya akan beri kontrak kepada mana-mana kontraktor bagi menguruskan perkara ini (talian kabel). Kita khuatir juga apabila pekerja kontrak yang dilantik atau diambil, lama-kelamaan mengubah ‘trend’, tidak lagi bekerja dengan kontraktor tetapi buat secara solo atau in silo untuk mencuri sebab sudah tahu teknik dan taktik,” katanya.

Katanya lagi, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azizi berkata sepanjang tempoh dari Januari hingga Ogos 2024, 247 kertas siasatan membabitkan kejadian kecurian kabel syarikat telco dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dibuka serta menangkap seramai 287 orang suspek.

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top