‘Mereka yang mulakan dulu’

‘Mereka yang mulakan dulu’

Situasi tegang yang berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV pada Rabu ketika perlawanan TRW bertemu Perak FC menyebabkan kumpulan penyokong Perak terpaksa dibawa masuk ke tengah padang.

MEREKA (penyokong Perak) yang mulakan provokasi melampau,”. Demikian pengakuan penyokong Kelantan yang hanya mahu dikenali sebagai Man mengenai perbalahan antara peminat The Red Warriors (TRW) dengan Perak FC pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV pada Rabu.

Man berkata, ketika itu dia berada di kawasan tempat duduk terbuka berhampiran papan mata dan provokasi tersebut mula tercetus pada babak kedua perlawanan.

“Suasana aman bertukar menjadi ‘tegang’ selepas sekumpulan penyokong Perak yang dikenali sebagai ‘casual’ mula membuat provokasi.

“Situasi bertambah panas apabila provokasi berbaur kata-kata kesat mula dilontarkan oleh kumpulan penyokong terbabit ke arah penyokong TRW,” katanya ketika mencerita insiden terbabit kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, provokasi itu mencetuskan insiden membaling botol antara kedua-dua belah pihak sehingga menyebabkan kumpulan penyokong Perak terpaksa dibawa masuk ke tengah padang.

“Sewaktu mereka masuk ke dalam padang kumpulan berkenaan terus membuat provokasi sehingga membangkitkan lagi api kemarahan penyokong TRW.

“Situasi panas itu terus berpanjangan sehingga ke luar stadium,” katanya.

Seorang lagi penyokong yang dikenali sebagai Zie mengakui kesal dengan insiden berkenaan.

Katanya, insiden itu dilihat mencemarkan nama baik bola sepak Malaysia yang sepatutnya menjadi medium penyatuan peminat sukan.