Meriahkan final Piala Dunia bersama TPM di Bangi pada Isnin

Meriahkan final Piala Dunia bersama TPM di Bangi pada Isnin

ORANG ramai dijemput memeriahkan final Piala Dunia 2026 Viewing Party & Semarak Subuh bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangi Square 2, bermula jam 12 tengah malam, Isnin ini.

Program bersempena perlawanan akhir yang menemukan juara bertahan, Argentina dan Sepanyol itu menawarkan pengalaman menyaksikan aksi kemuncak kejohanan menerusi skrin besar dalam suasana penuh sorakan, kemeriahan dan kebersamaan bersama keluarga, rakan-rakan serta komuniti setempat.

Menurut kenyataan media penganjur, orang ramai dialu-alukan hadir sama ada peminat tegar bola sepak atau mereka yang mahu merasai pengalaman menonton perlawanan secara beramai-ramai.

“Bukan sekadar menonton perlawanan akhir di skrin besar, pengunjung bakal menikmati suasana penuh sorakan, kemeriahan dan kebersamaan bersama keluarga, rakan-rakan serta komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang program berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai sesi Borak Bola yang menampilkan legenda bola sepak negara iaitu Datuk Zainal Abidin Hassan, Farizal Marlias dan Zaquan Adha.

Suasana program turut bakal dihangatkan dengan persembahan hiburan daripada Babah Naden, Ayam Kahau dan Angah Raja Lawak untuk menghiburkan pengunjung sepanjang malam.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut disediakan termasuk cabutan bertuah, pertandingan trivia bola sepak serta peluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

Pengunjung juga boleh menikmati makanan dan minuman ringan yang disediakan sambil menantikan aksi perlawanan akhir dalam suasana santai bersama keluarga dan rakan-rakan.

Sebaik sahaja perlawanan tamat, program akan diteruskan dengan Semarak Subuh bersama Ahmad Zahid di Surau Al-Hamidiah, Kajang sebagai pengisian yang menggabungkan semangat kesukanan, kebersamaan dan nilai kerohanian.

Penganjur turut mengajak orang ramai hadir lebih awal ke Bangi Square 2 bagi mendapatkan tempat terbaik, menyertai aktiviti yang disediakan serta bersama-sama memeriahkan malam final Piala Dunia 2026.

“Jadi, tak perlu tengok final seorang diri di rumah. Ajak keluarga, kawan-kawan dan jiran tetangga ke Bangi Square 2,” menurut kenyataan penganjur.

Scroll to Top