am@hmetro.com.my
Ipoh: Perselisihan faham berkaitan motosikal yang dirampas ketika lumba haram dipercayai menjadi punca kejadian merusuh menggunakan senjata di bandar Meru Raya dekat Jelapang, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata kejadian itu menyebabkan enam individu cedera dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 36 tahun pada 12.30 tengah malam tadi.
“Lelaki itu mendakwa diserang sekumpulan lelaki menggunakan senjata, antaranya kayu besbol, parang, pedang samurai, topi keledar, dan pisau panjang.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada selisih faham berkaitan motosikal yang dirampas dalam kegiatan lumba haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, susulan itu polis menahan sembilan lelaki berusia 19 tahun hingga 41 tahun di lokasi berasingan jam 6.45 pagi, hari ini.
Menurutnya, pihaknya merampas kereta BMW berwarna putih, kunci kereta, sebatang batang kayu golf dan sebatang pengunci stereng kereta.
“Semakan mendapati tujuh daripada sembilan suspek bebas sebarang rekod kesalahan lampau, sementara dua suspek lagi mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah.
“Hasil saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzodiazepin, satu suspek positif jenis THC, dan manakala enam lagi negatif dadah,” katanya.
Katanya, empat suspek direman tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu manakala lima lagi suspek direman sehari bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh menggunakan senjata.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




