KUALA LUMPUR – Mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 akan diadakan pada 12 Jun ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, suruhanjaya itu telah menerima notis daripada Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 2 Jun, sebagaimana termaktub di bawah Fasal 23 (2) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
“Berdasarkan Fasal 23 (4) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Negeri tersebut.
“Mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Johor ke-16 seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu.
DUN Johor dibubarkan pada Isnin selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Sementara itu, menerusi kenyataan berasingan, Khairul Shahril memaklumkan permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi PRN Johor ke-16 telah dibuka secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my bermula hari ini.
Ia melibatkan permohonan undi pos bagi semua kategori, iaitu Kategori 1A (anggota polis, tentera, petugas pilihan raya, ahli/pegawai SPR dan petugas media), Kategori 1B (warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara) serta Kategori 1C (agensi/organisasi).
“Semua permohonan undi pos hendaklah dibuat secara dalam talian. Pemilih yang layak dan berhasrat untuk mengundi secara pos hendaklah mendaftar atau mempunyai akaun MySPR sebelum membuat permohonan untuk mengundi secara pos,” katanya.
Beliau berkata, tarikh tutup permohonan undi pos bagi semua kategori akan dimaklumkan kelak.
Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-88927080 atau e-mel ke upup@spr.gov.my. – Bernama



