Mexico City semakin tenggelam

Mexico City semakin tenggelam

MEXICO CITY – Lebih 20 juta penduduk di ibu kota Mexico kini hidup di atas tanah yang sedang tenggelam, terletak di atas sebuah takungan kuno.

Bandar di negara Amerika Utara itu telah sekian lama diketahui sebagai salah satu kawasan yang paling cepat tenggelam di dunia.

Namun, penyelidik tidak mempunyai kemampuan untuk memantau pergerakan tanah secara berterusan dari angkasa lepas sehingga kini.

Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) pada minggu lalu berkongsi imej dikeluarkan perkhidmatan satelit Amerika Syarikat-India (NISAR) yang merakamkan beberapa bahagian Mexico City tenggelam kira-kira 1.27 sentimeter (cm) setiap bulan.

Agensi angkasa AS tersebut menyatakan bahawa impak perubahan kecil itu terkumpul dari masa ke masa menyebabkan keretakan jalan raya, bangunan, dan saluran paip air di seluruh bandar.

Penyelidik, Dora Carreón-Freyre yang telah mengkaji proses itu selama lebih 25 tahun turut melihat kerosakan tersebut dengan lebih dekat di kawasan Iztapalapa yang paling teruk terjejas.

“Rumah-rumah yang dibina di atas kawasan batu vulkanik adalah lebih stabil manakala rumah-rumah yang terletak di antara batu dan dataran tasik sudah banyak yang rosak. Pada tahun 2017, sebuah teksi pernah terjatuh ke dalam rekahan,” kata Carreón-Freyre.

Menurut NASA, NISAR merupakan satelit pertama yang dilengkapi dengan dua sistem radar dengan gelombang yang berbeza untuk merekodkan perubahan pergerakan tanah secara hampir masa nyata setiap tempoh 12 hari.

Bagi penyelidik yang telah menjalankan kajian ke atas Mexico City selama beberapa dekad, data satelit baharu itu menawarkan satu maklumat yang baharu.

Difahamkan, imej satelit tersebut merupakan gabungan data yang dikumpulkan oleh NISAR antara Oktober 2025 hingga Januari 2026.

NASA dan Organisasi Penyelidikan Angkasa India (ISRO) melancarkan NISAR pada 30 Julai 2025 dari Pusat Angkasa Satish Dhawan. Mexico City menjadi titik permulaan bagi penerapan teknologi tersebut.

Beberapa bahagian Mexico City tenggelam kira-kira 1.27cm setiap bulan. Foto Agensi

Beberapa bahagian Mexico City tenggelam kira-kira 1.27cm setiap bulan. Foto Agensi

Mendap sejak akhir abad ke-19

Fakta bahawa Mexico City sedang tenggelam bukanlah perkara baharu. NASA menyatakan bahawa perubahan berkenaan telah didokumenkan selama lebih seabad.

Menurut laporan Akademi Sains, Kejuruteraan dan Perubatan Kebangsaan pada 1995, ibu kota tersebut sudah tenggelam kira-kira lima sentimeter setahun sejak akhir abad ke-19.

Pada 1950-an, angka itu meningkat kepada 46cm setahun.

Ia pertama kali dikenal pasti oleh jurutera, Roberto Gayol pada 1925 yang percaya mendapan tersebut mungkin berlaku disebabkan saluran besar dan terowong yang dibina untuk mengalirkan air keluar dari tanah yang berlumpur.

Kini, para saintis merujuk kepada punca yang lebih jelas iaitu pengeringan akuifer dasar tasik kuno yang menjadi tapak pembangunan bandar tersebut.

Namun, tidak semua bahagian bandar tenggelam pada kadar yang sama.

Beberapa kawasan di ibu kota itu telah tenggelam sehingga 76cm sepanjang seratus tahun dan kawasan yang paling teruk terjejas telah mendap sehingga 3.23 meter.

Susulan laporan itu, penyelidik mula memfokuskan pemetaan pergerakan tanah di kawasan pesisir yang didiami sebahagian besar populasi dunia.

NISAR kini berupaya memantau bandar yang tenggelam secara berterusan.

Filipina antara negara yang paling berisiko tinggi kerana berdepan dua fenomena serentak iaitu tenggelam dan kenaikan paras laut. Negara Asia Tenggara itu dilaporkan mendap sehingga 30cm setahun. – Agensi

 

 

Scroll to Top