MFL sahkan kemenangan Kuching City ke atas Penang

MFL sahkan kemenangan Kuching City ke atas Penang

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan kemenangan 1-0 Kuching City FC ke atas Penang FC kekal biarpun badan pengendali liga itu mengesahkan wujud kesilapan teknikal daripada pegawai perlawanan.

Menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan MFL, pihaknya sudah meneliti secara menyeluruh berhubung insiden yang berlaku dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Bandaraya pada 15 Mac lalu.

Laporan lengkap daripada kedua-dua pasukan, pegawai perlawanan, Komisioner Perlawanan (MC), Koordinator Perlawanan (GC), Pegawai Keempat (P4) telah diterima dan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL hari ini.

“Hasil siasatan mendapati bahawa berlaku kesilapan teknikal dalam penyediaan ‘Team List’ oleh Komisioner Perlawanan bagi perlawanan itu di mana pemain Kuching City FC, Scott Philip Woods (Jersi No.5), tidak ditandakan dalam ‘Team List’ walaupun telah didaftarkan dalam ‘Selection List’ sebagai pemain simpanan oleh Kuching City FC.

“Daripada laporan yang diterima, Ahli Lembaga Pengarah MFL juga mendapati MC, GC dan P4 gagal menjalankan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemeriksaan pemain di dalam bilik persalinan pemain mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Selain itu, pertukaran pemain pada minit 90+6 dibenarkan oleh GC dan P4 tanpa semakan menyeluruh terhadap ‘Team List’, sekali gus menyebabkan pemain yang tidak tersenarai secara rasmi dalam ‘Team List’ diturunkan.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL mengesahkan terdapat kegagalan pematuhan terhadap Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP) Liga Malaysia 2025–2026 di mana; MC melakukan kesilapan dalam penyediaan Team List, GC dan P4 gagal melaksanakan semakan yang sewajarnya sebelum dan semasa perlawanan manakala pihak kelab juga tidak meneliti ‘Team List’ secara menyeluruh sebelum mengesahkan dokumen rasmi,” kata kenyataan itu.

Susulan itu, MFL mendenda Kuching City FC dengan nilai RM30,000 dan diberikan amaran keras.

Malah, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut membuat keputusan menjatuhkan hukuman gantung daripada menjalankan tugas selama 12 bulan terhadap MC dengan enam bulan terakhir akan melalui fasa pemulihan manakala GC pula digantung daripada menjalankan tugas selama enam bulan dan bagi tindakan susulan ke atas P4 perlawanan tersebut adalah tertakluk kepada keputusan FAM.

“Untuk rekod, kes pelanggaran OTP yang sama berlaku melibatkan Kelantan FC menentang Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Perdana pada 27 Ogos 2021 di mana pasukan tuan rumah Kelantan FC telah menurunkan pemain yang tidak sepatutnya berada di atas padang dengan membuat pertukaran pemain melebihi 3 kali peluang yang telah ditetapkan semasa perlawanan.

“Keputusan kemenangan 2-1 Kelantan FC dikekalkan namun kelab itu dikenakan denda RM30,000 manakala MC dan GC digantung perlawanan selama enam bulan dengan P4 pula dikenakan tindakan oleh FAM.

“Satu lagi insiden dalam saingan Piala MFL di antara Penang FC II dan Terengganu FC II pada 5 Oktober 2024 di mana pada minit- 70, pemain yang tiada dalam ‘Team List’ telah dibawa masuk oleh Penang FC II bagaimanapun keputusan perlawanan kekal 2-2 namun MC dan GC digantung perlawanan selama enam bulan manakala P4 pula dikenakan tindakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“MFL ingin menegaskan bahawa semua pihak termasuk pegawai perlawanan dan kelab bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan setiap prosedur pertandingan dipatuhi, khususnya dalam aspek teknikal seperti penyediaan dan pengesahan Team List.

“Sebarang kecuaian yang boleh menjejaskan integriti pertandingan tidak akan dikompromi dan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan standard profesional Liga Malaysia sentiasa terpelihara,” kata MFL.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top