hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Serdang: Seramai 145 delegasi dari 25 negara termasuk sembilan sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) akan mengambil masa 10 hingga 11 jam untuk sampai ke pelabuhan Ashdod.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, jangka masa itu dianggarkan berdasarkan pemintasan berlaku di kedudukan 120 batu nautika dan kelajuan kapal kira-kira 10 hingga 11 knot yang akan dikemudi oleh Israel itu.
Menurutnya, pihaknya turut menjangkakan ‘communication blackout’ akan lebih lama dan kelajuan kapal juga akan lebih perlahan kerana Israel mahu memastikan delegasi tiba di pelabuhan berkenaan pada waktu malam.
“Kita anggarkan mungkin dalam tengah malam (waktu Israel) akan sampai di Pelabuhan Ashdod dan kita tidak pasti (kenapa Israel mahu tiba pada waktu malam) sebab selalunya begitu.
“Sekarang ia bertukar corak, sudah lain sedikit, dulu pemintasan berlaku dalam kedudukan 100 batu nautika melainkan Madeline di 109.
“Tetapi ketika (penahanan) GSF juga semua dalam 100 batu nautika dalam garisan merah, cuma kali ini dipintas dekat 120 batu nautika, jauh lagi.
“Jadi tak pasti sebab apa sebab mungkin daripada segi perubahan dan sebagainya. Kita akan mengkaji, perbaiki apa proses-proses seterusnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini
Bagaimanapun katanya, peguam yang akan mewakili pihak mereka di sana juga sudah maklum dan sudah mengeluarkan kenyataan akan mengendalikan 145 yang ditahan.
“Proses itu (urusan membebaskan sukarelawan) akan berlaku pada waktu pejabat mungkin bermula esok. Kita tidak mahu perkara itu berlaku pada hujung minggu kerana pejabat tutup dan peguam tidak boleh akses mereka pada Jumaat dan Sabtu. Itu akan menjadi alasan untuk (penahanan) lebih lama.
“Alhamdulillah, dengan kerjasama Kerajaan Türkiye mungkin usaha itu akan menjadi sama seperti dilakukan ke atas peserta Global Sumud Flotilla (GSF),”
Terdahulu, MyCARE memaklumkan sembilan kapal yang membawa aktivis misi kemanusiaan itu terputus hubungan selepas dipintas tentera Israel, pada 10.50 pagi ini.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Dua lagi aktivis adalah pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar manakala kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.
Semua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




