razis@mediaprim,com.my
Kuala Lumpur: Turkiye bersedia membantu untuk membebaskan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).
Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampai pidato sempena Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
“Sahabat saya Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memberi mesej melalui Menteri Luarnya kepada Datuk Seri Mohamad Hasan, insya-Allah Turkiye akan terus bantu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sembilan kapal yang membawa aktivis misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) terputus hubungan selepas dipintas tentera zionis Israel, pada 10.50 pagi ini.
Lapan aktivis Malaysia yang menaiki kapal Conscience terdiri daripada ketua misi, Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi dan wartawan Astro Awani, Syafik Shukri Abdul Jalil.
Dua lagi aktivis adalah pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar manakala kapal Umm Saad pula dinaiki seorang lagi wakil Malaysia iaitu Dr Maziah Muhammad.
Semua mereka yang ditahan itu mengikuti gelombang ketiga flotilla kemanusiaan yang berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




