georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Heliza Helmi, 39, berharap kisah rakyat Palestin dapat dimasukkan dalam silibus mata pelajaran sekolah di Malaysia.
Heliza atau nama sebenarnya Nur Heliza Helmi mencadangkannya pada Himpunan Solidariti Bersama Gaza (HSBG) di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, hari ini demi luaskan lagi pengetahuan ramai terhadap Palestin.
“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Malaysia kerana bersama mengangkat isu Palestin. Saya berharap selepas ini dalam silibus pembelajaran anak-anak kita masukkan kisah mengenai Palestin,” katanya.
Heliza percaya usaha sebegitu mampu membuka mata masyarakat sejak dari peringkat awal mengenai penderitaan dilalui saudara sesama Islam di negara itu.
Dia tampil menyampaikan pidato berkongsi pengalaman sertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) di acara HSBG bersama adiknya, Hazwani Helmi dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee.
Heliza menceritakan terperinci bagaimana situasi dihadapinya bersama delegasi lain ketika ditahan tentera Israel. Dia enggan tunduk dan menentang arahan rejim itu sehingga akhirnya pasrah dengan mereka.
Perkongsiannya itu disertai dengan laungan ‘Free, free Palestine’ yang kemudian disahut ribuan hadirian.
HSBG turut menampilkan pemidato lain iaitu aktivis GSF Malaysia antaranya Zizi Kirana, Ardell Aryana, Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan (PU Rahmat) Muhamad Abdullah (Ustaz Mad Kecik) dan Nadir Al-Nuri.
HSBG diadakan sebagai usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut kepulangan 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang selamat kembali ke tanah air selepas ditahan tentera Israel.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby.
© New Straits Times Press (M) Bhd




