Misi GSF: Zizi Kirana antara 8 rakyat Malaysia ditahan Israel

Misi GSF: Zizi Kirana antara 8 rakyat Malaysia ditahan Israel

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Lapan rakyat Malaysia termasuk Zizi Kirana yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dilaporkan ditahan secara tidak sah tentera Israel selepas kapal yang mereka naiki dan dipintas di perairan antarabangsa, awal pagi tadi.

Perkembangan itu dikongsikan menerusi akaun media sosial rasmi Sumud Nusantara Official sebentar tadi yang memaklumkan beberapa kapal termasuk Huga yang dinaiki Zizi dinaiki dan dipintas tentera Israel.

Dalam perkongsian itu Sumud Nusantara Official turut memuat naik rakaman video Zizi yang dibuat sebelum pelayaran sebagai persediaan sekiranya ditahan pihak berkuasa Israel.

“Nama saya Zizi Kirana. Saya warganegara Malaysia. Jika anda menonton video ini bermakna saya telah diculik dan ia bertentangan dengan kehendak saya oleh tentera Israel.

“Misi kemanusiaan kami adalah aman. tiada keganasan dan mematuhi sepenuhnya undang- undang antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, Zizi turut berharap kerajaan Malaysia mendesak Israel menjamin keselamatan semua yang berada di atas kapal serta membebaskan mereka segera.

“Saya segera merayu kepada kerajaan Malaysia terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menuntut pembebasan segera dan tanpa syarat,” katanya

Selain Zizi, beberapa video warga Malaysia lain turut dimuat naik iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin dan Rusydi Ramli yang berada dalam tahanan selepas Kapal Sirius dinaiki mereka dipintas pada jam 9.47 malam waktu Gaza, 1 Oktober 2025.

Tiga lagi rakyat Malaysia di atas Kapal Alma iaitu Iylia Balqis, Musa Nuwayri dan Sul Aidil juga berdepan nasib sama selepas kapal berkenaan dipintas pada jam 9.44 malam waktu Gaza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top