am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Amar Baharin, 40, terpaksa menukar laluan perjalanan asal bagi misi berbasikal Kembara ke Makkah yang bermula esok susulan konflik di sempadan India dan Pakistan ketika ini.
Amar menjayakan misi kembara, #JourneyToTanahHaram bersama Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Qobin.
Amar ketika dihubungi berkata, penukaran laluan perjalanan itu dilakukan atas faktor keselamatan.
“Saya anggap semua yang berlaku adalah aturan Allah SWT kerana dia sebaik-baik perancang.
“Kami dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bahawa keadaan di India dan Pakistan adalah tidak selamat untuk dilalui untuk misi ini.
“Jadi, kami terpaksa ‘re-route’ (menukar laluan) atas faktor keselamatan. Laluan terbaharu akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada Harian Metro.
Amar berkata, dia dan Qobin kini sudah berada di Perlis untuk memulakan misi berkenaan esok.
“Kami akan berlepas dari Padang Besar, Perlis jam 9 pagi esok dan acara pelepasan akan disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
“Kami juga memohon doa daripada semua termasuk peminat semoga kembara ini berjalan lancar dan dipermudahkan segalanya.
“Saya juga akan beritahu perkembangan misi ini setiap hari melalui laman web www.qanda.my,” katanya.
Terdahulu, Amar memaklumkan akan menyertai misi kayuhan ke Makkah sejauh 8,000 kilometer bersama rakannya, Qobin yang juga pendaki Malaysia yang pernah menawan Gunung Everest.
Mereka dijangka memulakan kayuhan dari Perlis sebelum merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran sebelum dijangka tiba di Madinah, Arab Saudi, Julai depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




