sukanteam@nstp.com.my
Kuantan: Tempoh rehat selama tiga minggu sempena temasya Sukan Sea di Kemboja akan dimanfaatkan sepenuhnya Nur Shamie Iszuan Amin untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama Sri Pahang FC.
Pemain berusia 28 tahun itu berkata, sebaik saingan Liga Super bersambung pada 20 Mei ini, dia berusaha untuk menyakinkan pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad.
“Sebenarnya saya gembira apabila dapat bermain dalam dua perlawanan selepas pulih daripada kecederaan lutut kiri.
“Dua perlawanan itu memberi motivasi kepada saya untuk kembali mendapatkan rentak permainan dan minit perlawanan.
“Saya harap pada perlawanan akan datang saya dapat meningkatkan tahap kecergasan 100 peratus,” kata pemain kelahiran Sarawak itu.
Dua perlawanan yang menyaksikan Nur Shamie beraksi ketika berdepan Kuching City FC pada 18 April lalu dan Terengganu FC (TFC) (24 April).
Mengulas aksi dua perlawanan itu, Nur Shamie bersyukur kerana kembali bermain selepas lebih dua bulan kerana mengalami kecederaan pada lutut kiri sebelum liga bermula.
“Namun, diberikan peluang beraksi biarpun sebagai pemain gantian begitu bermakna untuk mengembalikan prestasi pada tahap terbaik,” katanya.
Berdasarkan laporan, Nur Shamie mengalami kecederaan lutut kiri pada aksi persahabatan berdepan PDRM FC tiga hari sebelum saingan Liga Super bermula.
© New Straits Times Press (M) Bhd




