KUALA LUMPUR: Pemain golf Jepun, Miyu Yamashita bertekad memanfaatkan kelebihan selaku pendahulu untuk mempertahankan kejuaraan Kejohanan Golf Maybank LPGA 2026 apabila turun beraksi pada pusingan terakhir hari ini.
Miyu mengakui berpuas hati dengan persembahannya pada pusingan ketiga selepas berjaya mengharungi beberapa situasi sukar tanpa melakukan sebarang bogey.
Menurut pemain berusia 25 tahun itu, keupayaannya mengekalkan rentak permainan dan mengelak kehilangan pukulan menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinannya menjelang aksi penentuan.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Secara keseluruhan, saya melalui pusingan yang sangat baik hari ini. Ada beberapa situasi sukar sepanjang permainan, tetapi saya berjaya mengatasinya dan menamatkan pusingan tanpa kehilangan sebarang pukulan.
“Saya sangat gembira dengan pencapaian itu,” katanya selepas tamat pusingan ketiga.
Bagaimanapun, Miyu perlu waspada dengan ancaman pencabar dari China, Liu Yan yang mempamerkan aksi luar biasa apabila mencatat sembilan pukulan di bawah par 63.
Liu Yan menutup pusingan ketiganya dengan penuh bergaya apabila melakukan pukulan eagle di lubang ke-18 untuk mengumpul keseluruhan 16 pukulan di bawah par 200, sekali gus merapatkan jurang kepada hanya dua pukulan di belakang Miyu.
Mengulas mengenai tekanan berada di kedudukan pendahulu berbanding memburu pemain di hadapan, Yamashita berkata kedua-dua situasi mempunyai keistimewaan tersendiri namun dia lebih menggemari cabaran mengejar kedudukan.
Bagaimanapun, peluang mempertahankan gelaran di Malaysia menjadi motivasi tambahan buat pemain Jepun itu, terutama selepas menerima sokongan padu peminat tempatan sepanjang kejohanan.
“Sudah tentu memenangi kejuaraan merupakan sesuatu yang sangat istimewa, tetapi saya juga amat menyukai padang ini.
“Saya menerima begitu banyak sokongan daripada peminat di Malaysia dan akan memberikan persembahan terbaik esok,” ujarnya.
Miju yang belum pernah mempertahankan gelaran kejohanan sebelum ini kini berpeluang mencipta pencapaian istimewa sekiranya berjaya mengekalkan kedudukan di puncak sehingga tamat pusingan terakhir.-UTUSAN




