Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my
SEMPENA penganjuran Aveta Mega Gathering 2026 di Setia City Convention Centre, Setia Alam, Selangor, baru-baru ini, dua model baharu diperkenalkan iaitu Nova 200 Limited Edition dan Falcon 180 Serba Baharu.
Bagaimanapun, Falcon 180 menjadi antara tumpuan utama menerusi konsep skuter pengembaraan yang menggabungkan ciri tunggangan lasak dengan keselesaan untuk kegunaan harian.
Dikuasakan enjin 174cc, empat injap, penyejukan cecair dengan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI) Bosch, Falcon 180 mampu menghasilkan kuasa maksimum 13.6kW dan tork 17.2Nm.
Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik CVT bagi memberikan kemudahan pengendalian, khususnya ketika digunakan dalam kesesakan lalu lintas atau perjalanan jarak jauh.
Untuk aspek pengendalian, model itu dilengkapi fork hadapan jenis upside-down (USD), penyerap hentak belakang dengan takungan gas luaran serta kelegaan bumi 140mm bagi menyokong keupayaan meredah permukaan jalan tidak rata.
Menariknya, Falcon 180 turut dilengkapi kedudukan pemijak kaki kedua yang membolehkan penunggang berdiri ketika melalui laluan ‘off-road’, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti untuk mengimbangi berat badan ketika berdepan permukaan mencabar.
Aspek keselamatan pula dipertingkatkan menerusi sistem brek ABS dua saluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) yang boleh dinyahaktifkan mengikut keperluan tunggangan.
Ia turut menawarkan pemegang dan pelindung angin boleh laras bagi memberikan keselesaan serta penyesuaian kepada pelbagai keadaan tunggangan.
Bagi kemudahan harian, Falcon 180 dilengkapi tangki bahan api berkapasiti 14 liter, paparan skrin sentuh TFT tujuh inci, kamera papan pemuka hadapan terbina dalam serta sistem penghidup tanpa kunci pintar.
Ruang simpanan luas, lampu LED penuh dan sistem Idling Stop yang boleh dinyahaktifkan turut disediakan.
Aveta Falcon 180 ditawarkan pada harga RM9,798, tidak termasuk insurans, dalam tiga pilihan warna iaitu Storm Grey, Sahara Bronze dan Alpine White.
Ia sesuai buat penunggang yang mahukan sebuah skuter serba boleh untuk perjalanan harian, aktiviti hujung minggu serta pengembaraan jarak jauh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




