Model F.I.R.E. hasil kolaborasi UMK-UPM raih pengiktirafan UNESCO

Model F.I.R.E. hasil kolaborasi UMK-UPM raih pengiktirafan UNESCO

suliati@hmetro.com.my

Model ‘Field . Indigenous . Research . Expression’ (F.I.R.E.) hasil kerjasama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima anugerah ‘Star of Outstanding’, pengiktirafan tertinggi bagi kategori ‘World Heritage Education Towards the Future-Innovation of and for Young People’ sempena Persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO Ke-48 (WHC48) di Busan, Republik Korea.

Kejayaan itu bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah membuktikan keupayaan institusi pengajian tinggi negara membangunkan model pendidikan alam sekitar dan warisan bertaraf dunia.

Anugerah berprestij itu disampaikan pada program anjuran ‘World Heritage Institute of Training and Research for the Asia and the Pacific Region’ (WHITR-AP) di bawah naungan UNESCO yang berlangsung di ‘Busan Exhibition and Convention Center’ (BEXCO) daripada 19 hingga 29 Julai ini.

Pengarah Urusan Bersama MyRimba Sdn Bhd Dr Norfaryanti Kamaruddin berkata, kejayaan itu dicapai menerusi MyRimba Sdn Bhd, syarikat pemula UPM yang membangunkan Model F.I.R.E. bersama ‘UMK Tropical Rainforest Conservation & Research Centre’ (UMK-TRaCe).

Katanya, kejayaan itu hasil kerjasama erat pelbagai pihak dalam membangunkan Model F.I.R.E. dan Program Kem Rimba Rimbun sebagai platform pendidikan berasaskan pengalaman.

“Model ini menggabungkan pendekatan ‘living laboratory’, penyelidikan lapangan, pengetahuan masyarakat tempatan, penceritaan kreatif, pendidikan warisan serta pembelajaran berasaskan pengalaman bagi menghubungkan alam semula jadi, warisan dan budaya dalam satu kerangka pendidikan yang holistik.

“Kejayaan ini membuktikan kerjasama rentas institusi mampu menghasilkan pendekatan pendidikan yang menghubungkan alam semula jadi, warisan budaya, penyelidikan saintifik dan pembabitan komuniti, sekali gus menyumbang kepada agenda pendidikan warisan UNESCO di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Dr Norfaryanti yang juga Pegawai Penyelidik di Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP) berkata, MyRimba, iaitu syarikat di bawah Putra Science Park UPM, turut menghasilkan siri animasi edutainment, ‘Skuad Rimba’.

Katanya, siri animasi inovatif itu menggabungkan penceritaan kreatif, watak menarik dan pendidikan alam sekitar bagi mendekatkan generasi muda dengan biodiversiti serta warisan semula jadi.

“Siri animasi ini menampilkan pengembaraan menyeronokkan yang menyemai kesedaran, rasa cinta dan tanggungjawab terhadap usaha memelihara alam sekitar serta warisan untuk generasi akan datang.

“Selain itu, kami juga menghasilkan program Kem Rimba Rimbun iaitu program utama MyRimba yang menjadi platform utama pelaksanaan Model F.I.R.E. melalui pengalaman pembelajaran,” katanya.

Program ini memberi peluang kepada peserta mendekati ekosistem hutan hujan tropika, memahami biodiversiti, menghargai budaya dan warisan setempat serta menghayati kepentingan pemuliharaan menerusi penyelidikan lapangan, interaksi bersama komuniti dan aktiviti kreatif.

Sementara itu, Pengarah UMK-TRaCe Dr Muhammad Firdaus Abdul Karim berkata, pengiktirafan itu adalah penghormatan kepada UMK sebagai rakan kerjasama utama dalam membangunkan Model F.I.R.E. dan Kem Rimba Rimbun Edisi Khas Belum-Temenggor.

Platform pendidikan berasaskan pengalaman itu turut mendapat sokongan Pulau Banding Foundation, Rimbun Foundation dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Pengiktirafan ini memperluas usaha pendekatan pendidikan alam sekitar dengan mengiktiraf bahawa hutan dan landskap bukan sahaja warisan semula jadi, malah turut berkait rapat dengan budaya, pengetahuan tradisional dan identiti komuniti.

“Anugerah ini adalah pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada model pendidikan warisan yang menunjukkan kecemerlangan daripada aspek inovasi, impak, kerjasama serta sumbangannya terhadap pembangunan pendidikan warisan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kejayaan ini juga pencapaian penting bagi Malaysia dalam memperlihatkan keupayaan institusi pengajian tinggi, organisasi pemuliharaan, agensi kerajaan dan rakan industri membangunkan pendekatan pendidikan yang mengintegrasikan pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar, warisan budaya, penyelidikan saintifik juga pemerkasaan belia.

Ia juga selaras dengan aspirasi UNESCO terhadap pembangunan mampan.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Firdaus berkata, program UNESCO ‘World Heritage Volunteers’ (WHV) adalah inisiatif antarabangsa yang menggalakkan pembabitan belia dalam pemuliharaan warisan dunia menerusi pelaksanaan kem tindakan tahunan di seluruh dunia.

Katanya, di Malaysia, program ini diselaraskan oleh UMK-TRaCe dengan kerjasama Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Jabatan Warisan Negara (JWN).

“Menerusi platform ini, Kem Rimba Rimbun Edisi Khas Belum-Temengor dilaksanakan dan seterusnya menjadi asas kepada pembangunan Model F.I.R.E..

“Ia sekali gus memperkukuh pendidikan warisan, pemuliharaan biodiversiti serta pembabitan belia di landskap Hutan Hujan Diraja Belum-Temengor,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah itu turut dihadiri delegasi Malaysia daripada MyRimba Sdn Bhd termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riana Liau, UMK-TRaCe, MOTAC, Jabatan Warisan Negara serta George Town World Heritage Incorporated.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top