Modenas lancar skuter Elit 150S sempena ulang tahun ke-30

Modenas lancar skuter Elit 150S sempena ulang tahun ke-30

lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), pengeluar motosikal nasional dan ahli kumpulan DRB-HICOM menyasarkan sasaran jualan antara 8,000 hingga 10,000 unit setahun untuk motosikal skuter terbaharu yang dilancarkannya, ELIT 150S.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Roskan berkata, model ini kembali diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Segmen skuter 150 cc adalah penting di dalam pasaran negara ini dan ELIT ditawarkan bagi memenuhi jurang antara 125 cc dan 250 cc dalam barisan motosikal MODENAS di Malaysia,” katanya ketika pelancaran sempena ulang tahun ke-30 MODENAS, Sabtu lalu.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad, Tan Sri Syed Faisal Albar.

Model ini juga sudah menjalani ujian ketahanan sejauh 20,000 kilometer (km), dan reka bentuk adalah hasil kerja pasukan kajian dan pembangunan (R&D) MODENAS di Gurun, Kedah.

Selain harga jualan yang kompetitif, skuter ini dilengkapi dengan ciri terkini dengan lampu LED hadapan dan belakang, port pengecas USB, enjin 150 cc sejukan cecair yang mematuhi piawaian Euro 4, menghasilkan kuasa 14 kuasa kuda (hp) dan tork 13.5Nm.

Ia disokong tangki 12 liter yang mampu mencapai jarak sehingga 480 km bagi sekali isian penuh.

Skuter ini ditawarkan menerusi dua pilihan warna Riviera Blue dan Quantum Grey dan dijual pada harga RM7,877 (atas jalan tanpa insurans).

Menerusi perkembangan lain, Roslan juga mengesahkan model supermoped 150 cc MODENAS bakal dilancarkan pada tahun ini yang kini dalam proses kelulusan daripada pihak-pihak berkaitan.

Dalam pada itu katanya, selain Kawasaki, MODENAS juga bekerjasama dengan pengeluar motosikal India, Bajaj dan pengeluar skuter Kymco dari Taiwan, dan bakal memperkenalkan model-model baharu pada tahun hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top