am@hmetro.com.my
Kangar: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar berkuatkuasa hari ini.
Bekas Pesuruhjaya PAS Perlis itu meletakkan jawatannya itu atas faktor kesihatannya yang tidak mengizinkan.
Menurutnya, beliau sudah diperkenankan untuk menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Wad DiRaja Hospital Tuanku Fauziah, di sini tengah hari tadi untuk menyatakan hasrat beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
“Saya sudah mempersembahkan kepada Tuanku akan hasrat perletakkan jawatan saya menerusi surat perletakkan jawatan sebagai Menteri Besar secara sukarela berkuatkuasa hari ini.
“Perletakkan jawatan ini dilakukan atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan akhir-akhir ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, di sini hari ini.
Katanya, beliau hanya meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar sahaja namun masih mengekalkan jawatan Adun Sanglang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum yang lalu.
“Saya masih lagi Adun Sanglang dan kembali meneruskan tugas saya kepada rakyat di kawasan DUN saya.
“Apapun saya ingin berterima kasih kepada semua yang banyak membantu saya dalam pemtadbiran negeri selama ini,” katanya.
Mohd Shukri adalah Menteri Besar ke-11 negeri Perlis yang dilantik pada 22 November 2022 dan ahli politik pertama dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang mengambil alih pentadbiran Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun di Perlis.
© New Straits Times Press (M) Bhd




