Mohon baiki segera, penduduk Taman Bunga Raya bimbang keselamatan

Mohon baiki segera, penduduk Taman Bunga Raya bimbang keselamatan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penduduk Taman Bunga Raya yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di sini, pada 22 Ogos lalu berharap kerosakan di kawasan itu dapat dibaiki segera.

Penduduk, Meor Ramlee Meor Zainun, 48, berkata, rumahnya yang terletak kira-kira 10 meter daripada lokasi tanah runtuh itu didapati mengalami keretakan di beberapa bahagian.

“Pagi tadi kita ada buat pemeriksaan di rumah dan mendapati ada banyak keretakan cuma setakat ini tidak pasti kesan daripada tanah runtuh itu ataupun berpunca daripada projek pembinaan (berhampiran).

“Saya tinggal di rumah ini sejak 24 tahun lalu bersama kedua ibu, bapa, dan dua anak saya jadi saya berharap segala kerosakan ini dapat dibaiki.

“Apa yang merisaukan adalah sekiranya rumah kami sudah tidak selamat didiami dan kami terpaksa berpindah,” kata jurutera elektrik itu ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Bunga Raya, di sini hari ini.

Turut sependapat, Azmi Badarudin, 55, yang terpaksa menyewa sebuah apartmen selepas kediaman miliknya yang didiaminya sejak tahun 1979 terjejas dengan insiden tanah runtuh berkenaan.

“Harapan saya supaya ia diberikan keutamaan dari segi keselamatan jadi saya berharap pihak berwajib ambil tindakan sewajarnya.

“Setakat ini saya lihat perkembangan semasa adalah memuaskan berikutan kejadian tanah runtuh ini pertama kali berlaku sepanjang saya tinggal di sini,” katanya.

Pada masa sama, Azmi turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di atas sumbangan tunai berjumlah RM1,000 yang disampaikan kepada 12 keluarga yang terjejas.

Sumbangan itu diserahkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu majlis di sini hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top