Mok Su Viral maut dirempuh ketika lintas jalan

Mok Su Viral maut dirempuh ketika lintas jalan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di hadapan Stesen Minyak Shell, Jalan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Mangsa, Tengku Jariahhanna Tuan Ismail, 71, atau lebih dikenali sebagai Mok Su Viral Muka Bedak Sejuk dan suka berpantun terbabit kemalangan jam 7.35 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, laporan diterima jam 8.46 pagi.

Katanya, pemandu kereta dari arah KB Mall menghala ke Bulatan Padang dan apabila sampai di lokasi kejadian, seorang wanita sedang melintas dari arah bahu jalan sebelah kiri ke arah bahu jalan sebelah kanan.

“Disebabkan jarak terlalu dekat, pemandu kereta yang berada di jalan lurus di laluannya tidak sempat mengelak lalu terlanggar pejalan kaki.

“Akibat perlanggaran itu, pejalan kaki meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Zon Merah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan di IPD Kota Bharu atau

berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-7752315.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top