Monfils pemain kedua tertua mara ke final Jelajah ATP

Monfils pemain kedua tertua mara ke final Jelajah ATP

Auckland: Bekas pemain nombor enam dunia, Gael Monfils, menempah tempat di final Klasik Auckland selepas menewaskan Nishesh Basavareddy 7-6(5) 6-4 di separuh akhir sekali gus menjadi pemain kedua tertua untuk mencapai final Jelajah ATP sejak 1990.

Monfils, 38 tahun, menyelamatkan semua lima breakpoint yang dihadapinya dan menghasilkan tujuh ace untuk menewaskan pemain berusia 19 tahun dari Amerika Syarikat itu dalam satu jam 48 minit.

Ini adalah kemenangan kedua Monfils ke atas Basavareddy dalam dua minggu berturut-turut selepas dia memenangi pertemuan pusingan 32 di Brisbane dalam tiga set.

“Saya sangat gembira. Dia mempunyai masa depan yang cerah, dia bermain dengan sangat baik,” kata Monfils.

“Saya bermain dengan agak baik hari ini. Saya bergerak dengan hebat, bertahan dengan baik. Dia memberi tekanan kepada saya. Saya tahu ia akan menjadi sukar, dan memang sukar. Saya percaya pada kecergasan saya dan gembira dapat menang dalam dua set terus.”

Monfils akan menentang Zizou Bergs dari Belgium dalam final, di mana pemain Perancis itu akan berusaha untuk merangkul gelaran ke-13 dalam kariernya.

Selepas itu, Monfils akan bertemu rakan senegara Giovanni Mpetshi Perricard pada pusingan pertama Terbuka Australia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top