am@hmetro.com.my
Jasin: Disebabkan perselisihan faham berhubung perlawanan kriket, seorang lelaki Nepal tergamak menikam rakan senegaranya yang sedang tidur dengan pisau hingga parah.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, pihaknya menerima laporan pada 5.10 pagi kelmarin, memaklumkan berlaku pergaduhan di asrama kilang di Kampung Pondok Kempas, di sini.
Katanya, punca pergaduhan kerana tidak puas hati mengenai perlawanan pasukan kriket Nepal dan ketika itu pergelutan suspek dan mangsa berjaya dileraikan penghuni asrama lain.
“Namun selepas itu suspek berusia 23 tahun (yang masih tidak puas hati) bertindak menikam mangsa berusia 28 tahun dengan pisau sewaktu dia sedang tidur.
“Mangsa parah di kepala, tangan dan dada kini dirawat di unit rawatan rapi Hospital Jasin,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Md Nazri berkata, suspek berjaya ditahan di belakang asrama pekerja itu semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Katanya, suspek turut cedera di badan, muka, mulut, tangan dan kaki adalah pemandu lori manakala, mangsa operator pengredan telur.
© New Straits Times Press (M) Bhd