khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Pilah : “Kalau nak beli emas murah, cari di Kuala Pilah.”
Ayat itu kerap didengari dan bagi yang minat membeli barang kemas, daerah ini dianggap ‘syurga’ untuk berbuat demikian berikutan harga ditawarkan dianggap lebih rendah berbanding tempat lain.
Senario kedai emas di Kuala Pilah dipenuhi pembeli khususnya dari daerah lain atau luar Negeri Sembilan, pada hujung minggu sudah menjadi kebiasaan.
Penolong pengurus sebuah kedai emas di pekan Kuala Pilah, Muhamad Haizat Zukifli, 22, berkata, kebanyakan pelanggannya berasal dari Seremban dan Kuala Lumpur.
Katanya, faktor harga yang kompetitif, reka bentuk dan kos upah menjadi antara daya tarikan orang ramai.
“Hujung minggu memang ramai pelanggan. Harga emas di Kuala Pilah ini memang lebih murah antara RM10 hingga RM30 bagi setiap gram berbanding di tempat lain.
“Ramai juga yang tertarik dengan reka bentuk dan corak barang kemas ditawarkan. Ada pilihan corak lama dan yang terkini mengikut trend.
“Coraknya tidak sama dari satu kedai dengan kedai lain,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang pereka corak barang kemas, Siti Nur Jannah Ahmad Fairuz, 23, mengakui ramai wanita menjadikan Kuala Pilah destinasi membeli emas kerana harganya.
“Kalau kedai di tempat lain dia ikut harga persatuan tapi di Kuala Pilah kita tak masuk (persatuan), sebab itu harganya lebih rendah.
“Sekarang banyak kedai tempat lain yang ikut harga di Kuala Pilah,” katanya.
Beliau mengakui sepanjang kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok, ramai pelanggan baharu mengunjungi kedai dan jualan barang kemas meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda.
Pembeli dari Tapah, Perak, Wati Jaafar, 56, mengakui reka bentuk barang kemas di Kuala Pilah menepati cita rasa manakala harga ditawarkan jauh lebih rendah.
“Sebenarnya saya cuma masuk kedai nak tengok-tengok corak dan reka bentuk, kemudian berkenan.
“Harga barang kemas di sini memang jauh lebih murah dari di Perak,” katanya.
Pandangan sama dikongsi, Khairun Nisa Mohd Yusoff, 45, yang tidak melepaskan peluang melihat reka bentuk barang kemas terbaharu di Kuala Pilah dengan harga lebih murah berbanding tempat tinggalnya di Sungai Chua, Kajang.
Beliau yang pulang untuk mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong, membuat perbandingan dengan meninjau beberapa kedai di Lembah Klang sebelum memilih membeli emas di Kuala Pilah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




