Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usia mungkin sudah mencecah 37 tahun, namun ketajaman Paulo Josue di depan gawang masih menjadi senjata utama Harimau Malaya menjelang aksi getir menentang Thailand dalam saingan Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, malam esok.
Penyerang naturalisasi negara itu membuktikan usia bukan penghalang apabila muncul penjaring paling prolifik Malaysia setakat ini dengan tiga gol dalam dua perlawanan.
Josue meledak dua gol ketika membantu Malaysia menewaskan Myanmar 2-1 di Stadium Thuwunna sebelum membuka tirai jaringan ketika kemenangan bergaya 4-0 ke atas Laos di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Prestasi cemerlang itu dijangka sekali lagi menjadi sandaran jurulatih sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, yang memerlukan sentuhan penyudah pemain berpengalaman itu bagi memastikan skuad negara membawa pulang keputusan positif dari Bangkok.
Menurut Josue, kepercayaan penuh yang diberikan Cheng Hoe menjadi pemangkin utama untuknya terus mempamerkan aksi terbaik walaupun berada di penghujung karier.
“Bagi saya, perkara paling penting ialah cara jurulatih mengendalikan pasukan. Beliau menunjukkan kepercayaan yang sangat besar terhadap saya dan saya amat gembira dapat bekerja di bawah bimbingannya.
“Kepercayaan seperti ini penting untuk semua pemain tanpa mengira usia. Pemain muda juga menerima keyakinan yang sama daripada jurulatih dan ia membantu mereka berkembang.
“Saya bersyukur kerana beliau memberi kepercayaan kepada saya untuk beraksi serta memimpin pasukan sebagai kapten. Syukur, setakat ini semuanya berjalan dengan baik,” katanya.
Mengulas pertemuan dengan Thailand, Josue menjangkakan Harimau Malaya bakal berdepan cabaran lebih sukar, namun yakin pasukan memiliki kemampuan untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata.
“Kami perlu pergi ke sana dan bekerja keras. Kami sudah mengumpul enam mata serta masih berada di tangga teratas kumpulan, jadi keputusan seri di sana juga bukan sesuatu yang buruk.
“Kami perlu mempamerkan permainan terbaik, mengikut perancangan jurulatih dan melaksanakan apa yang dimahukan beliau. Selepas itu kami akan cuba membawa pulang mata,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




