Video palsu dakwa calon PN Ampangan sogok duit, calon MB 

Video palsu dakwa calon PN Ampangan sogok duit, calon MB 

SEREMBAN : Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menafikan penyebaran dua klip video yang berniat jahat mencemarkan imej calon PN di Ampangan, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek, sejak semalam. 

Yang Dipertua Pas Seremban, Rosmin Adam berkata, klip video pertama disebarkan dengan dakwaan mengaitkan Mohamad Rafie dengan pengagihan wang tunai kepada pengundi.

Beliau berkata, video klip kedua pula memaparkan kenyataan kononnya dibuat oleh Mohamad Rafie berhubung jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang disebarkan dalam media sosial. 

“Setelah diteliti, pihak kami mendapati suara dalam klip video itu adalah palsu dan dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“PN dan BN juga menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam aktiviti pengagihan wang tunai atau pembelian undi seperti yang didakwa,” katanya semasa sidang akhbar bersama Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop di Senawang, di sini hari ini.

Rosmin berkata, setakat ini pihaknya sudah membuat dua laporan polis berhubung penyebaran klip video berkenaan. 

“Kami berharap pihak polis, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab. 

“Kandungan palsu itu jelas bertujuan mengelirukan rakyat dan merosakkan proses demokrasi,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Rosmin berkata, pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) tidak akan menjejaskan undi orang Melayu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan. 

“Pengundi-pengundi adalah orang bijak yang boleh menilai dan saya rasa ia tidak memberikan kesan kepada mereka. Sebab ini adalah isu lama yang pernah diperkatakan tiga tahun lalu dan diulang semula semasa PRN,” katanya. 

Mazalan turut senada kerana baginya pendedahan itu dibuat oleh Pakatan Harapan (PH) di saat-saat akhir kempen PRN. 

“RCI TH tidak akan menjejaskan pengundi melayu di negeri ini. Setakat ini, pengundi telah menetapkan pilihan mereka dan akan memilih kerjasama BN dan PN. 

“Ia juga adalah kenyataan terdesak yang dilakukan oleh pihak lawan dan sama sekali tidak menjejaskan kemahuan pengundi untuk menukar Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top