Monyet nakal hubungi 911 

Monyet nakal hubungi 911 

LOS ANGELES: Seekor monyet nakal bertindak membuat panggilan kecemasan 911 sehingga menyebabkan polis bergegas ke sebuah zoo di California, Amerika Syarikat (AS).   

Sepasukan anggota polis dihantar untuk menyiasat kemungkinan kecemasan yang berlaku pada malam Sabtu selepas panggilan itu terputus sejurus dilakukan.  

Timbalan Syerif di San Luis Obispo County menjejaki panggilan kecemasan yang diterima dari pejabat Zoo to You, sebuah taman pemuliharaan terletak kira-kira 320 kilometer (km) di utara Los Angeles.

Bagaimanapun, polis mendapati tiada individu yang berada dalam kesusahan pada waktu itu.

Polis kemudian terus menyiasat panggilan misteri itu sehingga mendapati ia dilakukan oleh seekor monyet di zoo terbabit.

“Mereka menyedari panggilan itu pasti dilakukan oleh monyet Capuchin bernama Route.

“Rupa-rupanya, Route mengambil telefon bimbit yang berada di dalam kereta golf yang digunakan untuk mengelilingi tapak seluas 16,187 hektar zoo itu,” jelas pejabat syerif dalam media sosial.

Capuchin merupakan haiwan kumpulan mamalia yang mempunyai daya ingin tahu yang tinggi, dan suka bermain termasuk menekan objek yang diambil.

“Itulah yang dilakukan oleh Route, kebetulan ia merupakan kombinasi nombor talian kecemasan untuk menghubungi kami,” jelasnya. – AFP