MOT teliti penggunaan teknologi pantau kecurian kabel landasan kereta api – Anthony Loke

MOT teliti penggunaan teknologi pantau kecurian kabel landasan kereta api – Anthony Loke
MOT teliti penggunaan teknologi pantau kecurian kabel landasan kereta api – Anthony Loke

Anthony Loke

PADANG BESAR – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti penggunaan teknologi pemantauan yang lebih berkesan bagi membendung kes kecurian kabel sehingga menjejaskan perkhidmatan kereta api kepada pengguna.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu diambil susulan kegiatan kecurian kabel yang semakin membimbangkan khususnya di kawasan utara.

Menurutnya, MOT turut berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperketatkan undang-undang terhadap kes berkenaan.

“Kes kecurian kabel ini tidak boleh dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia mengganggu perkhidmatan pengangkutan awam serta memberi kesan kepada keselamatan orang ramai.

“Ia merupakan isu keselamatan nasional kerana bukan sahaja menimbulkan gangguan kepada perkhidmatan, malah mengundang risiko bahaya kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir ke perasmian Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin di Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di sini pada Sabtu.

Anthony berkata, walaupun tindakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah diambil, kegiatan berkenaan masih dilaporkan berikutan harga tembaga yang tinggi.

Tambahnya, cabaran pemantauan turut melibatkan jajaran landasan kereta api negara yang menjangkau kira-kira 1,000 kilometer termasuk kawasan terpencil yang diakses pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, dalam masa sama, kementerian turut meneliti pendekatan dan penyelesaian dilaksanakan negara lain dalam menangani kes kecurian kabel melibatkan sistem pengangkutan rel.

Menurutnya, masalah berkenaan bukan hanya berlaku di Malaysia, malah turut dihadapi negara lain yang mempunyai rangkaian rel, justeru pengalaman dan kaedah digunakan di luar negara boleh dijadikan rujukan bagi memperkukuh langkah pencegahan tempatan.

 

 

 

Artikel Disyorkan

Scroll to Top