MOTAC terus kerjasama, sokong penggiat industri

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan meneruskan kerjasama dan menyokong penggiat industri bagi memastikan kelangsungan industri pelancongan negara.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MOTAC telah membentangkan impak dan strategi-strategi pemulihan industri pelancongan kepada Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dan telahpun diterima.

“Sebagai rujukan, pada bulan Februari tahun ini sahaja, MOTAC telah mengadakan lima sesi libat urus menerusi Jawatankuasa Pasukan Pengurusan Krisis yang membabitkan lebih 30 wakil industri.

“Ia dilakukan bagi mendapatkan maklum balas mengenai cabaran yang dihadapi dan cadangan yang diusulkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, hasil daripada sesi-sesi libat urus yang dilakukan, MOTAC telah meneliti setiap pandangan yang dikemukakan oleh pemain industri.

“Pada masa yang sama, ada juga isu-isu yang dibangkitkan oleh industri tidak berada di bawah kuasa MOTAC.

“Antaranya, Program Susbidi Upah (PSU), pembukaan sempadan antarabangsa serta potongan sementara pessenger service charge (PSC) di lapangan terbang yang dikenakan sebanyak 50 peratus sehingga sempadan dibuka semula.

“Oleh demikian, MOTAC telah membawa kesemua cadangan dan usul yang dikemukan ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi pertimbangan sewajarnya,” tambah Nancy.

Hasil daripada itu, kebenaran aktiviti pelancongan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, bagi sektor seni dan budaya, pihaknya turut memanjangkan isu yang dibangkitkan penggiat sektor ini secara berterusan yang mana kerajaan baru-baru ini membenarkan pembukaan semula premis seni, budaya dan warisan.

“Ia termasuk muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya dan lain-lain mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi sektor pelancongan dan kebudayaan,” katanya.