Motosikal digunakan suspek samun kedai emas dijumpai

Motosikal digunakan suspek samun kedai emas dijumpai

SEREMBAN: Polis menjumpai sebuah motosikal yang dipercayai digunakan oleh dua suspek kejadian samun sebuah kedai emas di Bandar Baru Nilai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, motosikal tersebut ditemukan di dalam longkang kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian samun berkenaan pagi tadi.

“Bahagian Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan telah dihubungi dan hadir ke lokasi bagi menjalankan siasatan forensik ke atas motosikal tersebut.

“Selain itu, Bahagian Siasatan Khas IPK Negeri Sembilan dan Detektif Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai turut hadir bagi menjalankan siasatan di lokasi sekitar kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata, hasil semakan ke atas nombor enjin mendapati motosikal berkenaan mempunyai rekod hilang yang dilaporkan di Balai Polis Batu 9.

“Bagaimanapun, kami masih menyemak nombor pendaftaran yang digunakan sama ada palsu atau tidak serta menyemak pemiliknya,” katanya.

Semalam media melaporkan polis sedang memburu dua lelaki yang bersenjata pistol selepas mereka melarikan kira-kira 15 dulang barangan kemas terdiri daripada cincin, loket, gelang dan rantai dengan anggaran kerugian hampir RM60,000 daripada sebuah kedai emas yang terletak di dalam sebuah pasar raya di sini.

Johari berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek menggunakan sebuah beg penghantaran berwarna oren bagi menyimpan barangan kemas yang disamun. – UTUSAN 

Scroll to Top