MoU BIG Caring, CORUM perluas akses saringan kanser kolorektal, sasar 10,000 individu layak terima subsidi

MoU BIG Caring, CORUM perluas akses saringan kanser kolorektal, sasar 10,000 individu layak terima subsidi

AKSES kepada saringan awal kanser kolorektal kini diperluas apabila kit immunochemical faecal occult blood test (iFOBT) bersubsidi ditawarkan di cawangan terpilih BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy, susulan kerjasama antara BIG CARING Group dan Persatuan Penghidap Kanser Kolorektal Malaysia (CORUM).

Menerusi inisiatif berkenaan, kos kit saringan akan disubsidi dengan menyasarkan 10,000 individu yang layak melalui farmasi komuniti terpilih dan serta kempen komuniti.

Inisiatif tersebut hasil termetrainya memorandum persefahaman (MOU) antara Ketua Pegawai Operasi BIG CARING Group, Chong Yeow Siang dan Presiden Persatuan Penghidap Kanser Kolorektal Malaysia (CORUM), Datuk Dr Meheshinder Singh.

Ujian iFOBT merupakan kaedah saringan yang mudah, tidak invasif dan boleh dilakukan di rumah, serta disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk saringan kanser kolorektal.

Menerusi inisiatif berkenaan, kos kit saringan akan disubsidi dengan menyasarkan 10,000 individu yang layak melalui farmasi komuniti terpilih dan serta kempen komuniti.

Chong Yeow Siang berkata, melalui kerjasama tersebut, penyertaan saringan dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 45 hingga 75 tahun akan dipertingkatkan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan mencerminkan keyakinan pihaknya bahawa farmasi komuniti boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam memperkukuh penjagaan kesihatan dan pencegahan awal.

“Farmasi komuniti sering menjadi titik sentuhan pertama bagi masyarakat untuk mendapatkan nasihat kesihatan. Di BIG CARING Group, kami komited untuk memanfaatkan rangkaian farmasi kami untuk perkhidmatan kesihatan lebih mudah diakses oleh komuniti sekitar.

“Melalui kerjasama ini, kami berharap dapat mendekatkan saringan kanser kolorektal kepada masyarakat di tempat mereka mendapatkan nasihat kesihatan harian. Pengesanan awal boleh memberi perbezaan besar dalam hasil rawatan, dengan kadar kelangsungan hidup melebihi 90 peratus namun kadar saringan masih rendah.

“Dengan menjadikan kit saringan iFOBT lebih mudah diakses dan berpatutan melalui farmasi kami, serta memberikan panduan tentang langkah seterusnya, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan mengambil langkah pertama untuk menjalani saringan,”katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kanser kolorektal merupakan kanser kedua paling lazim di Malaysia, namun lebih 70 peratus kes dikesan pada tahap tiga dan empat, sekali gus menjejaskan peluang keberkesanan rawatan.

Saringan amat penting kerana kanser kolorektal lazimnya bermula daripada pertumbuhan kecil di dalam usus yang dikenali sebagai polip, yang berpotensi menjadi kanser.

Jika dikesan dan dirawat lebih awal, perkembangan kepada kanser boleh dielakkan.

Sementara itu, Dr Meheshinder berkata, kebanyakan pesakit kanser kolorektal hanya mendapatkan rawatan pada peringkat lanjut penyakit menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh kesedaran dan menggalakkan saringan awal, yang mampu mengesan kanser sebelum simptom muncul dan meningkatkan keberkesanan rawatan.

“Tahun lalu, bersama BIG CARiNG Group, kami telah menjalankan projek perintis di Selangor dengan mengedarkan 400 kit saringan melalui farmasi dan aktiviti komuniti.

“Sambutan yang menggalakkan menunjukkan bahawa apabila saringan mudah diakses dalam persekitaran yang biasa bagi masyarakat, mereka lebih terbuka untuk mengambil langkah pertama.

“Melalui kerjasama berterusan ini, kami dapat mendekati lebih ramai masyarakat di seluruh Malaysia dan membantu menormalisasikan saringan awal ini. Dengan memperluas akses kit saringan dan mendidik komuniti sekitar, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan sedar bahawa saringan adalah mudah, tidak invasif dan berpotensi menyelamatkan nyawa,” tambah beliau.

Menerusi kerjasama berkenaan, BIG CARING Group akan berperanan sebagai pusat akses komuniti dengan menyediakan kit saringan kendiri iFOBT di cawangan terpilih BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy, selain menyokong usaha mendidik dan melibatkan komuniti secara menyeluruh.

Ahli farmasi juga akan memberi panduan asas mengenai penggunaan kit serta nasihat berkaitan langkah susulan sekiranya diperlukan.

CORUM pula akan menyumbang melalui usaha advokasi, mobilisasi komuniti serta sokongan psikososial kepada pesakit, bekas pesakit serta ahli kesihatan bersekutu dalam rangkaiannya, bagi menggalakkan penyertaan dalam saringan serta menyokong pemantauan hasil program.

Sokongan turut diperluaskan kepada pesakit kanser golongan B40 menerusi Ribbon of Hope, program penjagaan kanser utama BIG CARING Group.

Selain meningkatkan akses kepada saringan, kerjasama ini juga menyokong pesakit yang didiagnosis dalam perjalanan rawatan mereka.

Di bawah inisiatif tersebut, BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy menawarkan bantuan serta diskaun khas bagi jenama produk penjagaan stoma terpilih kepada ahli CORUM.

Program berkenaan berlangsung sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada terma dan syarat serta ketersediaan produk di cawangan.

 

Ringkasan AI

  • Akses saringan awal kanser kolorektal diperluas melalui kerjasama BIG CARING Group dan CORUM.
  • Kit iFOBT disediakan bersubsidi dan disasarkan kepada 10,000 individu layak melalui farmasi terpilih.
  • Kerjasama ini bertujuan meningkatkan penyertaan saringan di kalangan rakyat Malaysia berumur 45-75 tahun.
  • Saringan penting kerana kanser kolorektal sering dikesan pada tahap lanjut, mengurangkan keberkesanan rawatan.
  • Program berlangsung hingga 2026 menyokong pesakit didiagnosis termasuk diskaun produk penjagaan stoma.
Scroll to Top