PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) hanya menyokong dan berkecuali selepas proses Rang Undang-Undang Belanjawan 2022 dirunding dan dipersetujui.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini sekali gus menolak tanggapan bahawa PH wajib menyokong RUU berkenaan selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan semalam.
“Ada yang menganggap apabila termeterai MoU ini, PH wajib menyokong Belanjawan 2022. Itu tidak benar. Dalam MoU ini disebut kita boleh mengambil pendirian menyokong, berkecuali, bagi undi belanjawan 2022 selepas proses penggubalan RUU tersebut dirundingi dan dipersetujui.
“Ini bermakna tanggungjawab Menteri (Kewangan) dan pembangkang untuk mengambil sikap terbuka bersedia duduk berunding,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja bagi Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 di sini hari ini.
Dalam pada itu Anwar yang Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan, beliau tidak mahu situasi ketika rundingan bagi RUU Belanjawan 2021 berulang.
“Jangan seperti (Belanjawan 2021), menteri kewangan panggil (pembangkang) ada perbincangan kemudian dia longgok dalam belanjawan, anggap kita dah setuju dan terima.
“Kalau nak ada kerjasama, untuk kita menyokong dan berkecuali mesti ada proses rundingan dan kita bersetuju perkara-perkara asas,” katanya. – UTUSAN ONLINE