MPOB anjur seminar prestasi industri sawit beri peluang kepada pemain industri

MPOB anjur seminar prestasi industri sawit beri peluang kepada pemain industri

PETALING JAYA: Prestasi industri sawit Malaysia bagi tahun 2023 serta prospek pasaran dan tinjauan harga untuk 2024 akan dibentangkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui anjuran Seminar Tinjauan dan Pandangan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2024 pada 11 Januari ini  di Hotel Pullman Kuala Lumpur City Centre.

Menurut kenyataan MPOB, program ini merupakan acara tahunan yang menjadi platform perkongsian maklumat berkaitan prestasi industri sawit Malaysia dan untuk membuat unjuran bagi prestasinya untuk tahun semasa.

Kata kenyataan itu lagi, seminar tersebut akan membincangkan komitmen industri sawit tempatan terhadap pembangunan mampan sambil memenuhi permintaan global.

“Sembilan kertas kerja yang mengenengahkan prestasi industri sawit bagi 2024, prospek pasaran dan tinjauan untuk 2023, serta perkembangan, cabaran dan peluang dalam sektor sawit akan dibentangkan pada seminar itu.

“Pakar industri akan membincangkan topik yang merangkumi pelan hala tuju Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dalam meningkatkan kemampanan minyak sawit dan memerangi kempen anti-minyak sawit, dan faedah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) kepada ekonomi Malaysia,” kata kenyataan itu.

Kertas kerja bagi R&O 2024 akan dibentang oleh Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir manakala prospek pasaran dan harga minyak sawit bagi tahun 2024 akan dikongsi oleh pakar minyak dan lemak Dr. Julian McGill dari Glenauk Economics.

DR AHMAD PARVEZ

Bertemakan “Memenuhi Keperluan Global dengan Minyak Sawit Mampan”, R&O 2024 akan menumpukan pada mekanisasi dan automasi dalam ladang sawit, kesan cabaran global terhadap bekalan dan permintaan serta prospek minyak sawit.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, seminar berkenaan memberi peluang kepada peserta untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai prestasi industri sawit.

“Pakar industri akan berkongsi mengenai strategi, cabaran, peluang, prospek dan perkembangan pasaran industri sawit bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia,” katanya. –UTUSAN